MUHASABAH

Sudahkah anda berselawat hari ini? Tahu tak, seorang alim pada zaman dahulu pernah berkata, "Aku tahu bila akan Allah berselawat kepadaku". Orang ramai terkejut lalu bertanya, "Ya sheikh, mengapakah kamu jadi begitu bongkak seolah-olah kamulah tuhan?" Lalu dia menjawab, "Sesungguhnya apabila seorang hamba berselawat kepada nabi Muhammad s.a.w. sekali, maka Allah akan berselawat kepadanya 10 kali".

Sunday, 14 September 2014

Macam mana harga emas ditentukan?

Harga emas dunia biasanya dirujuk kepada beberapa penanda aras. Antara yang utama adalah London Gold Fixing iaitu harga emas yang ditentukan oleh supply dan demand antara lima bank yang menjadi ahli kepada The London Gold Market Fixing Ltd. Bank-bank tersebut ialah:
  • Scotia-Mocatta
  • Barclays Capital yang menggantikan N M Rothschild and Son
  • Deutsche Bank
  • HSBC Bank
  • Societe Generale

Gold Fixing ini dilakukan menerusi satu conference call yang menghimpunkan wakil-wakil bank tersebut yang meletakkan tempahan jual dan beli mengikut demand daripada retail customer bank masing-masing.

Selesai proses bidding antara bank-bank yang terlibat baharulah Gold Fixing akan mengeluarkan harga emas kepada awam, yang mana hanya ditentukan dua kali sahaja dalam satu hari iaitu pada jam 10.30 pagi London yang dipanggil sebagai London Gold AM Price dan pada jam 3.00 petang London yang dikenali sebagai London Gold PM Price.

Pun begitu, fixing sebegini dilihat sebagai agak bermasalah seperti yang berlaku kepada Silver Fixing kerana dikhuatiri berlaku manipulasi dan kawalan harga. Silver Fixing sendiri telah diubah suai daripada ditentukan oleh conference call tiga buah bank yang terlibat kepada sistem eletronik yang dikendalikan Chicago Merchantile Exchange (CME). Baca selanjutnya disini.

Dijangkakan Gold Fixing menerusi konferens call ini akan juga menurut jejak Silver Fixing dengan ditukar kepada sistem elektronik pada Oktober nanti. Boleh baca disini.

Selain itu, antara yang menjadi rujukan juga ialah harga emas spot. Harga emas spot ini merujuk kepada harga emas fizikal yang telah dijual beli, dan ianya berubah-ubah mengikut supply and demand. Harga emas spot juga berbeza-beza mengikut negara. Harga emas fizikal di India tak sama dengan harga emas fizikal di China, juga berbeza dengan harga spot di London dan New York.

Namun begitu, harga emas spot yang selalu menjadi rujukan ialah spot gold di New York. Baca selanjutnya disini.

Harga emas terkini (setakat post ini ditulis)

Selepas harga emas berlegar sekitar $1,280-$1,320 se auns beberapa bulan lepas, harga emas kembali menjunam kepada sekitar $1,220-$1,230 sekarang, iaitu sekitar yang terendah sepanjang tahun ini. Ini berikutan nilai US Dollar yang meningkat berbanding matawang lain, menyebabkan emas fizikal di New York lebih mahal kepada kepada pembeli global seterusnya mengurangkan permintaan kepada emas.

Harga emas dilihat mempunyai sokongan sekitar $1,200 se auns kerana dijangkakan permintaan akan kembali pada harga ini. Sejak emas mengalami kejatuhan harga dari paras tertinggi pada $1,921, paras terendah yang pernah dicatat ialah sekitar $1,180 se auns iaitu sekitar Jun 2013.


Untuk graf harga emas, boleh rujuk disini.
Baca entri terdahulu tentang beberapa fakta menarik tentang emas


Rujukan:
http://www.goldpriceoz.com/london-gold-price-fixing.html

Saturday, 6 September 2014

Penantian di Shah Alam

Semalam, setelah menghadirkan diri ke kenduri walimah seorang sahabat, Ikhwan di Dewan De'Seri Endon, Putrajaya, saya langsung ke Shah Alam untuk menonton perlawanan bola persahabatan Malaysia B23 menentang Yaman.

Biasanya saya ke Shah Alam menaiki motor sahaja, kenderaan yang selalu saya naiki untuk ke mana-mana. Maklumlah, naik motor ni cepat juga sampai ke destinasi kerana tidak perlu menempuh jam. Belanja minyak pun murah juga, kan.

Namun kali ini berbeza kerana saya menumpang kereta kawan sahaja yang sama-sama ingin ke majlis walimah di Putrajaya itu. Sahabat yang mengadakan walimah itu orang-orang kaya, sebab itu buat di Putrajaya. Namun, majlis semalam agak unik, seunik tuan badan dan ahli keluarganya juga.

Mereka tu walaupun kaya tetapi insyaallah masih tidak lupa Allah. Masih mengaku hamba Allah. Baik dengan lisan lebih lagi dengan perbuatan.

Antara yang unik dalam majlis tersebut ialah majlis menjemput imam/bilal masjid Shah Alam untuk mengazankan azan Zohor sebaik masuknya waktu Zohor. Agak mengagumkan untuk mendengar azan yang dilaungkan bergema di dewan yang serba mewah itu.

Kemudian, perarakan masuk pengantin ke dalam dewan juga diiringi dengan laungan qasidah yang cukup merdu dibawa oleh Ustaz Tarmizi.

Kebetulan juga dalam majlis tersebut sempat bertemu mata dengan bekas pensyarah saya di USIM iaitu Prof Maznah yang juga merupakan jiran kepada si ikhwan.

Secara keseluruhan, saya cukup tersentuh hati apabila melihat orang-orang kaya korporat sebegini tapi masih konsisten untuk mengangkat syiar Islam contohnya dengan melaungkan azan di dalam majlis perkahwinan sebegini. 

Selesai makan, kami terus sahaja ke Shah Alam. Asalnya si Sheikh tu bercadang menurunkan saya di mana-mana stesen KTM sahaja untuk saya pulang ke KL ni, dah alang-alang mereka hendak ke Shah Alam saya terus mengesyorkan mereka untuk turunkan sahaja di Stadium Shah Alam untuk menonton perlawanan itu secara percuma.

Semuanya enjoy sahaja sehinggalah tamat perlawanan dan ingin pulang. Sesungguhnya saya langsung tidak tahu bagaimana untuk pulang ke KL. Tamat perlawanan, saya tunaikan dahulu solat Maghrib kerana waktunya yang pendek sedangkan arah tuju saya masih kabur hendak ke mana.

Selepas solat, terus saya keluar perkarangan stadium dan bernasib baik untuk melihat ada tempat perhentian bas. Pun begitu, setelah menanti lebih satu jam, satu bas pun tidak ada yang lalu di situ.

Nak kata saya rasa takut sangat pun tidak juga. Kala menunggu bas itu, satu sahaja yang berlegar dalam benak kepala saya. Bagaimanakah perasaan rasulullah dan para sahabat semasa hendak berhijrah dari mekah dan madinah, dalam keadaan langsung tiada harta, apa lagi sebarang bantuan, untuk menempuh perjalanan yang jauh itu. 

Dalam keadaan begitu, tentu sahaja minda kita akan terfikir akan apakah lagi ujian dan rintangan yang akan ditempuhi dalam perjalanan itu. Masa depan belum tentu lagi bergerak mengikut apa yang dirancang, segalanya dalam keadaan tidak pasti dan membimbangkan. Kebimbangan inilah yang akhirnya menyedarkan kita bahawa kita ini hanyalah hamba Allah dan tiada lagi tempat lain yang boleh mengadu kelemahan kita melainkan hanya dia tuhan yang satu.


Bentuk-bentuk riba

Lanjutan kepada post ringkas saya mengenai apa itu riba, riba bermaksud lebihan daripada sesuatu transaksi tanpa ada nilai ganti (counter value).

Lebihan ataupun gain dalam bahasa inggerisnya boleh dibahagikan kepada dua. Yang pertama ialah justified gain iaitu seperti keuntungan dalam transaksi jual beli manakala yang kedua ialah unjustified gain.

Unjustified gain inilah yang dikategorikan sebagai riba dan dihukumkan sebagai haram. Manakala keuntungan yang diperolehi menerusi bisnes jualan mahupun servis perkhidmatan adalah justified gain dan dihukumkan sebagai harus.

Oleh kerana kedua-dua transaksi riba dan jual beli mempunyai sifat lebihan, tidak hairanlah ramai yang tersalah anggap bahawa riba ini sama sahaja dengan jual beli. Sebagai contoh adalah dakwaan bahawa perbankan Islam adalah sama dengan perbankan konvensional kerana kedua-duanya sebenarnya pada hakikatnya adalah sama-sama memberi hutang. 

Mereka bertanyakan mengapa perbankan Islam boleh mendapat untung daripada hutang yang diberikan sedangkan bank konvensional tidak boleh. Padahal yang membezakannya ialah perbankan Islam menggunakan transaksi jual beli manakala bank konvensional menggunakan transaksi pinjaman.

Bukankah Allah sendiri berfirman dalam Al-Quran bahawa ada segelintir manusia yang menganggap jual beli itu sama sahaja seperti riba, sedang Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba.

Bentuk-bentuk riba

1. Apa jua bentuk lebihan, keuntungan dan faedah yang ditetapkan menerusi kontrak pinjaman. Contohnya:

a) Ali meminjamkan kepada Abu RM10 dengan syarat Abu hendaklah menjelaskan hutang tersebut dengan membayar sebanyak RM12. Di sini, keuntungan sebanyak RM2 yang diperolehi itu adalah riba dan ianya biasa dipanggil dengan istilah interest ataupun 'bunga' seperti yang dipraktikkan dalam perbankan konvensional. 

Kenapa unjustified: Bunga ini adalah unjustified gain kerana tiada usaha yang dilakukan dalam memberi hutang untuk mendapatkan keuntungan seperti ini, sebaliknya pemberi hutang hanya menunggu sahaja untuk mendapatkan keuntungan.

Hikmah: Orang yang kaya tidak akan mempergunakan orang miskin untuk mendapatkan keuntungan walaupun goyang kaki sahaja sedangkan orang miskin perlu bekerja untuk membayar balik pinjaman tersebut.

2. Penalti yang dikenakan kerana terlambat untuk menjelaskan hutang tidak kira sama ada hutang kerana pinjam mahupun hutang kerana beli barang secara tangguh.
Contoh:

a) Ali meminjamkan kepada Abu RM10 dan Abu dikehendaki menjelaskan balik hutang tersebut sebanyak RM10 dalam masa dua hari. Sekiranya lambat, maka Abu hendaklah membayarnya sebanyak RM12.

b) Ali menjual komputer berharga RM1,000 kepada Abu jika dibayar secara tunai. Abu tidak mempunyai tunai sebanyak RM1,000, maka memilih untuk membayar sebanyak RM250 secara bulanan selama 5 bulan, yang menyebabkan harga keseluruhan ialah RM1,250. Bayaran tangguh seperti ini adalah harus. Namun, jika ditetapkan bahawa jika Abu akan dikenakan penalti sebanyak RM50 setiap kali terlambat menjelaskan bayaran bulanan tersebut, maka penalti ini adalah termasuk dalam riba.

3. Lebihan dalam transaksi  matawang (barang ribawi) . Yang dimaksudkan dengan matawang ialah emas, perak dan duit kertas. Dalam jual beli pertukaran matawang, syarat yang mesti diikuti ia mestilah secara tunai (tidak boleh hutang atau bertangguh) termasuklah membayar menggunakan debit kad, cek, kredit kad islamik dan overdraft, dan matawang tersebut juga mestilah diserahkan pada masa yang sama atau selambatnya dalam tiga hari bekerja. Contoh riba:

a) Lebihan dalam transaksi matawang yang sama jenis kerana berbeza timbangan seperti trade in gelang emas lama seberat 10g dengan emas baru seberat 8g.
Kenapa unjustified: Hal ini kerana jika emas ini dikiaskan kepada matawang RM, tidak akan ada orang yang sanggup menukar RM10 dengan RM5 melainkan RM10 digantikan dengan RM5 sebanyak 2 keping (sama nilai). Adapun jika membuat tukaran antara dua matawang berbeza seperti membeli emas dengan membayar menggunakan perak, ataupun membeli emas dengan duit RM, maka tidak ada masalah jika tidak sama timbangan.

b) Lebihan dalam transaksi matawang kerana bayaran bertangguh. Contohnya membeli emas secara hutang. Membeli emas secara online yang mana emas akan sampai di tangan pembeli lebih daripada tiga hari selepas pembeli membayar secara online juga adalah riba.

c) Lebihan dalam transaksi makanan asasi yang sama jenis kerana berbeza timbangan seperti menukar 1kg anggur yang baru dengan 2kg anggur yang hampir rosak. Adapun jika membuat tukaran antara dua makanan asasi yang berbeza seperti membeli beras dengan membayar menggunakan jagung, maka tidak ada masalah jika tidak sama timbangan.

Baca entry terdahulu:
1. Apa itu riba?
2. Video Tanyalah Ustaz bertajuk "Bahana Riba'





Tuesday, 2 September 2014

Khalid dicadang ketuai MAS

Penulis berasa cukup tertarik membaca lontaran cadangan yang dibuat oleh saudara Muhammad Tawfik Yaakub dalam sebuah penulisannya dalam The Malaysian Insider yang bertajuk "Khalid tokoh terbaik pulih MAS"-2 Sept 2014. Boleh baca disini.

Secara umumnya, penulis agak teruja dengan cadangan ini memandangkan kejayaan demi kejayaan serta sumbangan Khalid sewaktu beliau dalam dunia korporat mahupun semasa memegang tampuk kerajaan Selangor membuktikan yang beliau benar-benar seorang tokoh dan negarawan.

Bahkan, ramai juga pemberi komen dalam tulisan tersebut bersetuju dengan cadangan yang dianggap bernas ini.

Disifatkan sebagai tokoh yang berintegriti dan melaksana urus tadbir yang telus, saya tidak hairan dengan pendirian PAS sebelum ini yang mempertahankan Khalid sebagai MB Selangor.

Bahkan saya juga mempunyai fikrah yang sama.

Menurut Ustaz Khairuddin at-Takiri, tindakan mempertahankan Khalid sebelum ini adalah kerana ianya di atas prinsip Islam yang tidak menyokong sebarang kezaliman. Kezaliman bukan sahaja boleh dilakukan ke atas rakyat sahaja, ia boleh juga berlaku ke atas pemimpin iaitu dengan menolak pemimpin yang bersih dari terus menerajui kepimpinan.

Bahkan, saya menjadi lebih kagum dengan kenyataan Khalid bahawa dia senang meninggalkan tampuk kerusi panas itu andai dia bisa meninggalkan sebuah legasi terutamanya dalam menangani masalah air di Selangor.

Ternyata bagi saya ini menunjukkan beliau bukanlah seorang yang gila kuasa seperti yang dilabel oleh sesetengah pihak, bahkan beliau dengan rendah hatinya menyatakan kesediaan untuk meletakkan nasibnya sebagai MB di tangan PAS.

Kekal jika masih diingini, turun juga akan dituruti, andai itulah keputusan PAS.

Sungguh, penulis amat mengimpikan Malaysia untuk mempunyai ahli politik yang lebih bersifat negarawan, yang berjuang dan berkhidmat untuk rakyat, bukannya berpolitik 24 jam tanpa ada kesudahan. 

Parti politik baik parti pemerintah mahupun parti pembangkang boleh mengenepikan perbezaan demi untuk maslahah rakyat. Sama-sama berganding bahu memajukan negara, bukannya asyik berjuang demi kepentingan diri.

Seperti juga impian Ustaz Hasrizal, memilih pemimpin bukan lagi antara memilih yang baik dan menolak yang buruk, tetapi memilih yang terbaik antara dua yang baik.



Apakah keperluan kepada sebuah mega islamic bank?

Menurut Tan Sri Zeti Aziz, sebuah bank islam yang bersaiz mega diperlukan untuk membawa kewangan Islam maju setapak ke hadapan dalam sistem kewangan antarabangsa.

Ianya diperlukan untuk membolehkan bank tersebut menjalankan bisnes berskala antarabangsa, membantu aliran kewangan antarabangsa yang melintasi sempadan negara-negara seterusnya membantu hubungan perdagangan antarabangsa.

Menurutnya lagi kewangan Islam sudah mula diterima penduduk antarabangsa dengan munculnya negara-negara yang majoriti penduduknya bukan Islam menerbitkan sukuk contohnya seperti Jepun dan UK.

Hal ini kerana masyarakat ingin melihat sistem kewangan yang diamalkan betul-betul berkait dengan aktiviti ekonomi yang sebenar,yang mana kewangan Islam sudah menyediakan platform yang tepat ke arah itu. 

Di dalamnya terdapat penekanan terhadap urus tadbir yang baik, pengurusan risiko yang berkesan dan ketelusan dan keterbukaan yang merupakan elemen-elemen penting dalam sebuah ekonomi yang maju.

Cabaran Perbankan Islam dalam melaksanakan Basel III

Seluruh bank akan mula beralih untuk menerapkan prinsip Basel III dalam operasi perbankan masing-masing seperti yang dikehendaki menurut ketetapan yang diputuskan oleh badan berwajib tempatan, tidak kira perbankan Islam mahupun konvensional.

Basel III secara umumnya menekankan bank untuk mencapai dan mempunyai modal melebihi standard modal minima yang diperlukan.

Pada dasarnya, perbankan Islam dilihat tidak mempunyai masalah untuk melaksanakan Basel III kerana kebanyakannya beroperasi di negara Teluk dan Asia Tenggara yang kebanyakannya mempunyai sistem ekonomi yang masih utuh.

Kemudian, prinsip yang diamalkannya seperti menolak unsur spekulasi kewangan juga menjuruskan perbankan Islam ini untuk menjauhi daripada terlibat dengan instrument kewangan derivatif mahupun aset berisiko tinggi yang berstruktur kompleks, di mana telah banyak bank konvensional yang tenggelam apabila dunia berhadapan krisis kewangan.

Namun, sesuatu yang menjadi cabaran buat perbankan Islam ialah dalam menangani masalah wang akaun deposit. Oleh kerana pembayaran interest tidak digalakkan dalam kontrak simpanan wadiah kerana hampir mirip kepada konsep riba, maka perbankan Islam terpaksa berpindah kepada kontrak mudharabah iaitu akaun pelaburan secara perkongsian keuntungan antara bank dan pendeposit.

Sudah menjadi kefahaman umum bahawa dengan melaksanakan konsep perkongsian keuntungan ini akan menyebabkan keuntungan yang diraih oleh bank dan pendeposit kedua-duanya tidak akan tetap dan berubah-ubah mengikut prestasi pelaburan tersebut menyebabkan ianya dianggap volatile dan lebih berisiko.

Sedangkan pada sudut lain ianya menjamin kedudukan bank kerana bank tidak perlu membayar keuntungan kepada pendeposit andai pelaburan yang dilakukan tidak membawa keuntungan bahkan sebaliknya dalam kerugian. 

(Nota: penulis agak kurang faham kenapa keuntungan yang volatile boleh didefinisikan sebagai berisiko berbanding mendefinisikan risiko kerugian (keuntungan yang negatif) itu sebagai risiko yang mutlak?)

Oleh yang demikian, kerana akaun mudharabah ini dianggap lebih berisiko daripada akaun simpanan konvensional, maka perbankan Islam memerlukan lebih banyak aset pelaburan berkualiti tinggi dan cair (High Quality Liquid Asset) sedangkan ianya amatlah terhad dalam keadaan pasaran sekuriti Islam yang masih setahun jagung.

Menurut Basel III, perbankan Islam diperlukan untuk mempunyai HQLA secukupnya untuk membayar aliran tunai keluar untuk tempoh 30 hari jika berlaku sebarang krisis ekonomi.

Dalam perkembangan berkaitan, Islamic Financial Standard Board (IFSB) yang beribu pejabat di Kuala Lumpur bakal mengeluarkan suatu garis panduan tentang bagaimana regulator akan mengendalikan akaun pelaburan mudharabah seawal tahun depan.

Itu termasuklah garis panduan hak-hak pendeposit dalam akaun mudharabah dan juga sama ada pendeposit boleh mengeluarkan wang deposit dalam akaun tersebut dalam tempoh 30 hari bermula dari tempoh deposit wang dibuat tanpa sebarang denda.



LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts