Biasanya saya ke Shah Alam menaiki motor sahaja, kenderaan yang selalu saya naiki untuk ke mana-mana. Maklumlah, naik motor ni cepat juga sampai ke destinasi kerana tidak perlu menempuh jam. Belanja minyak pun murah juga, kan.
Namun kali ini berbeza kerana saya menumpang kereta kawan sahaja yang sama-sama ingin ke majlis walimah di Putrajaya itu. Sahabat yang mengadakan walimah itu orang-orang kaya, sebab itu buat di Putrajaya. Namun, majlis semalam agak unik, seunik tuan badan dan ahli keluarganya juga.
Mereka tu walaupun kaya tetapi insyaallah masih tidak lupa Allah. Masih mengaku hamba Allah. Baik dengan lisan lebih lagi dengan perbuatan.
Antara yang unik dalam majlis tersebut ialah majlis menjemput imam/bilal masjid Shah Alam untuk mengazankan azan Zohor sebaik masuknya waktu Zohor. Agak mengagumkan untuk mendengar azan yang dilaungkan bergema di dewan yang serba mewah itu.
Kemudian, perarakan masuk pengantin ke dalam dewan juga diiringi dengan laungan qasidah yang cukup merdu dibawa oleh Ustaz Tarmizi.
Kebetulan juga dalam majlis tersebut sempat bertemu mata dengan bekas pensyarah saya di USIM iaitu Prof Maznah yang juga merupakan jiran kepada si ikhwan.
Secara keseluruhan, saya cukup tersentuh hati apabila melihat orang-orang kaya korporat sebegini tapi masih konsisten untuk mengangkat syiar Islam contohnya dengan melaungkan azan di dalam majlis perkahwinan sebegini.
Selesai makan, kami terus sahaja ke Shah Alam. Asalnya si Sheikh tu bercadang menurunkan saya di mana-mana stesen KTM sahaja untuk saya pulang ke KL ni, dah alang-alang mereka hendak ke Shah Alam saya terus mengesyorkan mereka untuk turunkan sahaja di Stadium Shah Alam untuk menonton perlawanan itu secara percuma.
Semuanya enjoy sahaja sehinggalah tamat perlawanan dan ingin pulang. Sesungguhnya saya langsung tidak tahu bagaimana untuk pulang ke KL. Tamat perlawanan, saya tunaikan dahulu solat Maghrib kerana waktunya yang pendek sedangkan arah tuju saya masih kabur hendak ke mana.
Selepas solat, terus saya keluar perkarangan stadium dan bernasib baik untuk melihat ada tempat perhentian bas. Pun begitu, setelah menanti lebih satu jam, satu bas pun tidak ada yang lalu di situ.
Nak kata saya rasa takut sangat pun tidak juga. Kala menunggu bas itu, satu sahaja yang berlegar dalam benak kepala saya. Bagaimanakah perasaan rasulullah dan para sahabat semasa hendak berhijrah dari mekah dan madinah, dalam keadaan langsung tiada harta, apa lagi sebarang bantuan, untuk menempuh perjalanan yang jauh itu.
Dalam keadaan begitu, tentu sahaja minda kita akan terfikir akan apakah lagi ujian dan rintangan yang akan ditempuhi dalam perjalanan itu. Masa depan belum tentu lagi bergerak mengikut apa yang dirancang, segalanya dalam keadaan tidak pasti dan membimbangkan. Kebimbangan inilah yang akhirnya menyedarkan kita bahawa kita ini hanyalah hamba Allah dan tiada lagi tempat lain yang boleh mengadu kelemahan kita melainkan hanya dia tuhan yang satu.
No comments:
Post a Comment