MUHASABAH

Sudahkah anda berselawat hari ini? Tahu tak, seorang alim pada zaman dahulu pernah berkata, "Aku tahu bila akan Allah berselawat kepadaku". Orang ramai terkejut lalu bertanya, "Ya sheikh, mengapakah kamu jadi begitu bongkak seolah-olah kamulah tuhan?" Lalu dia menjawab, "Sesungguhnya apabila seorang hamba berselawat kepada nabi Muhammad s.a.w. sekali, maka Allah akan berselawat kepadanya 10 kali".

Wednesday 13 January 2016

Catatan Kursus Penulisan Kritis bersama Tuan Hasbie Muda

Dua minggu lepas saya berkesempatan untuk menghadiri Kursus Penulisan Kritis yang dikelola oleh Tuan Hasbie Muda. Di sana, beliau menceritakan sendiri pengalaman beliau dalam menghasilkan buku beliau dan bagaimana kali pertama tercetusnya idea untuk menghasilkan buku.

Kreatif vs Kritis

Kursus tersebut dimulakan dengan penjelasan mengapa beliau menamakan seminar beliau sebagai penulisan kritis berbanding memilih untuk bercerita mengenai penulisan kreatif. Sebagai perbandingan, penulisan kreatif adalah berupa penulisan-penulisan kesasteraan seperti puisi, syair, sajak, pantun dan sebagainya, manakala penulisan kritis pula merupakan penulisan yang lebih berat dan kritikal.

Penulisan kritis itu mempunyai ciri-ciri berikut iaitu ianya mestilah berdasarkan fakta yang tepat dan ianya adalah hasil analisis yang kritis oleh penulis terhadap fakta tersebut. Dengan membaca isi buku Kemenangan Yang Tertangguh hasil tulisan beliau sendiri, secara tidak langsung dapat difahami bagaimana penulisan kritis itu berbeza dengan penulisan kreatif.

Penulisan kritis juga termasuklah penulisan berkenaan penemuan baru seperti yang dihasilkan oleh para graduan di university di mana mereka mengambil sikap kritikal pada hasil penemuan tersebut. Beliau ada menyebutkan, sebagai contoh kepada penemuan baru ini ialah isu yang timbul tidak berapa lama dulu iaitu isu sama ada Mat Indera adalah pejuang kemerdekaan ataupun tidak. Melalui hasil penemuan tersendiri, penulis yang kritis akan cuba untuk mencabar fakta yang sedia ada diterima umum sebagai sebaliknya.

Walaubagaimanapun, sesuatu penulisan itu tidak hanya terbahagi kepada dua jenis sahaja iaitu sama ada kreatif atau kritis sahaja, tetapi juga boleh tergabung dalam kedua-dua bentuk. Sebagai contoh karya-karya Pak Latif Talib yang cuba menceritakan fakta sejarah (kritis) secara kreatif. Namun, tidak saya katakan bahawa penulisan sebegitu bagus kerana telahpun saya fahami bahawa tulisan begini agak berbahaya kepada umum kerana pada akhirnya ianya boleh menokok tambah kepada fakta sejarah itu sendiri.

Penulisan kritis membentuk pemikiran masyarakat
Antara tujuan kepada penulisan kritis pula ialah ianya bertujuan untuk menetapkan sikap masyarakat terhadap sesuatu topik. Di sinilah pentingnya akan keperluan hadirnya penulis-penulis Islamis kerana idea-idea yang akan dibawakannya akan hidup dan dibawa bersama oleh arus pemikiran masyarakat. Sekiranya banyak pandangan akan sesuatu topic yang dipersembahkan kepada masyarakat adalah hasil pemikiran yang songsang, maka begitulah masyarakat akan dipengaruhi oleh idea-idea songsang itu.

Selain itu, penulisan yang kritis juga berguna untuk memperkenalkan dan mempromosikan idea baru. Dengan menggunakan media sosial sebagai medium penulisan baharu, idea-idea ini lebih senang untuk dipromosikan. Sebagai contoh baru-baru ini media sosial digunakan oleh begitu ramai penulis aktivis untuk membawa idea anti-vaksin. Sekiranya kurangnya aktivis pro-vaksin hadir untuk menangkis dan mencabar idea itu melalui penulisan-penulisan, maka kita akan lihat bagaimana akhirnya masyarakat mengambil sikap untuk condong kepada idea anti-vaksin juga.

Genre buku di pasaran
Buku-buku yang dijual di pasaran datang dalam tiga genre iaitu buku popular, buku akademik dan buku semi akademik. Biasanya, buku popular ini ialah buku bestseller yang sangat laku di pasaran. Walaupun begitu, buku-buku popular ini biasanya lebih beremosi dan bias mengikut sudut pandang penulis menjadikan ianya sukar untuk dijadikan rujukan dalam dewan kuliah. Tajuk buku pula lebih catchy,isinya berkait dengan peristiwa semasa, tidak mempunyai rujukan dan biasanya lebih berdasarkan pengalaman peribadi.

Sebaliknya, buku yang boleh dijadikan rujukan dalam dewan kuliah ialah buku-buku akademik iaitu penulisan hasil kajian yang mendalam tentang sesuatu isu. Contohnya ialah buku-buku hasil adaptasi daripada tesis kajian graduan di university. Namun kerana ianya agak berat, maka ianya lebih susah untuk dijual di pasaran.

Di antara buku popular dan buku akademik, maka datangnya satu lagi genre buku di pertengahannya iaitu buku semi akademik, yang mempunyai kelebihan berupa isi yang ilmiah tetapi lebih senang untuk dijual di pasaran. Buku semi akademik ini biasanya mempunyai tajuk yang menarik tetapi tidaklah keterlaluan, mempunyai summber rujukan tetapi tidak lengkap dan isinya mungkin neutral dan mungkin juga bias.

Tips penulisan buku

1. Banyakkan membaca.
  •          Apabila ditanya kepada Pak Samad, Sasterawan Negara berkenaan bagaimana beliau menulis, jawapan beliau ialah “Baca, baca dan baca, kemudian menulis”

2. Membaca secara pantas (“Speed reading”)
  • Tujuan: Ini adalah skil yang kritikal dalam usaha menambah sumber rujukan dalam hasil karya kita
  • Langkah:
-          Pertama, kita kena tahu dan faham apa tujuan buku tersebut. Sebagai permulaan ianya boleh didapati dari ringkasan di belakang buku dan juga dan memerhati bahagian Isi kandungan buku.
-          Kedua, tidak perlu untuk habiskan keseluruhan buku tersebut, memadai dengan pergi terus kepada muka surat dan isi yang dikehendaki dari buku tersebut
-     Dua langkah ini sahaja sudah cukup untuk kita letakkan buku tersebut dalam rujukan buku yang kita hasilkan

3. Kenali latar belakang dan kepakaran penulis buku
  • Tujuan: Ini adalah untuk memastikan rujukan yang diberikan adalah berautoriti dan berpengaruh
  • Salah satu caranya adalah dengan menyemak CV penulis di Google, termasuklah boleh didapati CV para pensyarah di laman web university masing-masing, contohnya UM Expert

4. Tulis sesuatu topic yang sedang hangat di arus perdana (trending)
  • Tujuan: Untuk mudah dijual di pasaran
  • Biasanya isu yang hangat di media massa perlukan kepada solusi dan panduan, maka disitu wujudnya permintaan kepada buku-buku kritikal. Contoh yang paling relevan ialah terbitnya buku Kemenangan Yang Tertangguh dalam masa yang pendek sejurus sahaja PRU13.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts