Kali ini pula post tentang orang jahil dengan orang alim. Dikatakan dalam tasawuf bahawa berkawan dengan orang jahil yang takut tuhan itu lebih baik daripada berkawan dengan orang alim yang ikut nafsu. Ini kerana jahil apakah lagi seseorang itu jika dia takut dengan tuhan? Dan alim apanya lagi yang ada pada seseorang yang ikut nafsu?
Contoh yang diberikan ustaz cukup menarik. Menurut ustaz, orang dulu-dulu suka untuk menghadiri pesta hiburan yang diadakan jarang-jarang di kampung-kampung, boleh jadi seminggu atau dua minggu sekali. Hiburannya pula berbentuk semacam dikir barat, wayang kulit dan lain-lain budaya Melayu yang lama (rasa rugi pula banyak budaya melayu yang tak sempat merasa!).
Hiburan dulu jauh berbeza dengan sekarang, kan? Sekarang, hiburan boleh dikatakan ada setiap masa, manusia berhibur sepanjang masa melalui tv, radio, internet dan macam-macam medium lagi. (Astaghfirullah atas dosa-dosa kecil kita!)
Kemudian, diceritakan bagaimana wanita dulu yang apabila nak pergi ke pesta hiburan tersebut, mereka ingin untuk membuat rambut mereka jadi kerinting? Namun, ada sesetengah mereka yang kemudian terfikir kembali dan berasa perkara ini salah. Contoh dengan berkata, "Ehm, tak jadilah nak kerinting rambut takut kena laknat dengan Allah sebab mengubah ciptaan Allah," katanya.
Walaupun sebenarnya membuat rambut kerinting itu tidak sama sekali dikira sebagai mengubah ciptaan Allah dan tidaklah haram, namun oleh kerana takut tuhan perkara yang tak diketahui salahnya pun mereka telah tinggalkan. Inilah baiknya bila wujud rasa takut tuhan dalam jiwa manusia.
Cerita orang alim pula begini. Orang alim ni dia banyak hujah dan dalil sebabnya telah mendengar pelbagai pandangan ulama'. Sebagai contoh dalam bab rokok. Ada ulama' mengharamkan dan ada juga yang mengatakan hukumnya sekadar makruh. Maka, orang alim ni tentulah akan mengatakan ini adalah perkara khilaf, lantas mengikut nafsunya untuk memakai pendapat yang merokok itu makruh.
Lagi teruk bila ada orang alim ni betul-betul suka ikut nafsu. Walaupun telah banyak mendengar dan menadah ilmu, namun ilmu itu seolah-olah tidak meresapi ke dalam jiwanya. Maka tertanyalah kita apa ilmu lagi yang perlu diajar supaya dia dapat didik nafsunya itu? Astaghfirullah sekali lagi jika kita tergolong dalam golongan ini. Kemudian, jangan putus asa dari rahmat Allah, terus bertaubat dan kita masih kena terus-menerus mujahadah lawan nafsu kita. Itu yang perlu dilakukan.
Diharapkan entri ini tidak menjadikan orang alim itu putus asa dan menjadi sebab untuk seseorang itu terus menerus berada dalam kejahilan. Ianya sekadar untuk mengetuk kepala orang alim yang ikut nafsu supaya berhenti dari terus melakukan yang sedemikian dan perlunya mewujudkan rasa takut kepada Allah dalam diri masing-masing.
Wallahuaklam.
No comments:
Post a Comment