MUHASABAH

Sudahkah anda berselawat hari ini? Tahu tak, seorang alim pada zaman dahulu pernah berkata, "Aku tahu bila akan Allah berselawat kepadaku". Orang ramai terkejut lalu bertanya, "Ya sheikh, mengapakah kamu jadi begitu bongkak seolah-olah kamulah tuhan?" Lalu dia menjawab, "Sesungguhnya apabila seorang hamba berselawat kepada nabi Muhammad s.a.w. sekali, maka Allah akan berselawat kepadanya 10 kali".

Sunday, 27 September 2015

Persiapan percutian bajet ke Perth

Hari ini dah masuk 28 September, bermakna dalam tempoh sebulan lagi kami bertiga akan ke Perth, Australia selama 4 hari 4 malam.

Sejujurnya, persiapan kami setakat ini amatlah kurang walaupun telah menempah tiket sudah lama.

Setakat ini, apa yang kami telah lakukan adalah menempah tiket penerbangan dan selesai membuat visa ke Australia. Itu sahaja. Hotel belum tempah, itinerary pun belum tentukan untuk ke mana.

Untuk tiket penerbangan, tiket yang kami tempah pada 23 Mac lalu cukup murah, harganya adalah RM347 sahaja untuk penerbangan pergi dan balik seorang, merangkumi harga tiket sebanyak RM26 manakala selebihnya adalah untuk airport tax dan lain-lain, tidak termasuk harga bagasi yang belum kami tempah.

Untuk visa pula, kami baru sahaja buat bayaran melalui laman web easyeta.com iaitu sebanyak 12 SG dollar seorang dan ianya masih dalam proses pengesahan oleh pihak imigresen Australia dan masih lagi belum mendapat pengesahan.

Bersambung.

Monday, 7 September 2015

Panduan memohon saham IPO

Buat yang kurang biasa dengan kaedah memohon IPO, di bawah saya sediakan beberapa garis panduan dalam proses memohon IPO.

KAEDAH MEMOHON IPO

Bagi pelabur bumiputera, ada dua kaedah yang boleh digunakan bagi memohon IPO, iaitu
1. Memohon dengan status sebagai bumiputera dengan MITI. Untuk melanggan IPO sebagai bumiputera, anda hendaklah terlebih dahulu berdaftar sebagai pelabur dengan MITI, iaitu dengan menghantar beberapa dokumen kepada MITI. Proses pendaftaran ini sekali sahaja, apabila pendaftaran sudah disahkan, anda boleh terus memohon mana-mana IPO yang ditawarkan oleh MITI. Untuk kaedah untuk mendaftar sebagai pelabur MITI, anda boleh rujuk tulisan pakdi di link berikut. Cara Beli Saham IPO Melalui MITI.

2. Memohon melalui undian awam. Untuk memohon melalui undian awam, ada beberapa cara boleh dilakukan iaitu menerusi ATM dan secara online banking. Walaupun saya boleh memohon menerusi MITI, saya lebih suka memohon menerusi kaedah kedua ini, iaitu melalui online banking kerana sudah terbiasa melakukan transaksi secara atas talian ini. Ianya lebih cepat dan mudah kerana tidak perlu menghantar apa-apa borang. Sebagai panduan memohon menerusi CIMB online banking, anda boleh rujuk link ini. How to apply for IPO via Internet Banking. Untuk Maybank online banking, rujuk disini. Cara Membeli IPO di Maybank2u.

JUMLAH UNIT YANG BOLEH DIMOHON

Jumlah permohonan unit IPO adalah bergantung kepada berapa banyak modal yang anda ada, dan ianya boleh dilakukan dalam gandaan 100 unit, sama sahaja dengan unit di pasaran biasa. Di pasaran biasa, unit minima yang boleh anda beli ialah 100 unit iaitu bersamaan dengan 1 lot. 

KAEDAH CABUTAN DAN UNDIAN

Selepas anda berjaya menghantar permohonan langganan IPO, permohonan anda akan diasingkan kepada dua kategori seperti di atas iaitu kategori bukan bumiputera dan kategori bumiputera. Bagi setiap kategori ini, permohonan anda akan diasingkan lagi kepada beberapa kotak cabutan yang berasingan, bergantung kepada jumlah unit yang dipohon. Rujuk kepada imej di bawah sebagai panduan (klik untuk besarkan).


Basis of IPO allotment
Seperti dalam kotak hijau yang saya buatkan dalam gambar di atas, permohonan IPO anda akan diasingkan ke dalam kotak cabutan yang berasingan mengikut jumlah unit yang dipohon. Menurut imej di atas, permohonan untuk bawah 10 lot (1000 unit) akan diasingkan dalam satu kotak, permohonan untuk 10-19 lot dalam kotak lain, 20-29 lot dalam kotak lain dan seterusnya. Jumlah lot kotak-kotak ini boleh berbeza mengikut IPO yang berlainan, tapi tak jauh beza dari yang di atas.

Dalam kotak biru di atas pula menunjukkan jumlah saham yang akan diperolehi bagi setiap permohonan yang berjaya. Bagi satu kotak undian itu, jumlah saham yang diperolehi adalah sama walaupun jumlah permohonan berbeza. Sebagai contoh, bagi kotak pertama seperti di atas iaitu bagi permohonan 1-9 lot, hanya 1 lot (100 unit) sahaja akan diberikan kepada yang berjaya, walaupun yang berjaya itu sebenarnya memohon 5 lot.

Selain itu, kalau diperhatikan, bagi permohonan yang besar seperti bagi kotak yang terakhir iaitu permohonan bagi 10,000 lot (1,000,000 unit) dan ke atas, permohonan yang berjaya akan diberikan sebanyak 2,000 lot (200,000 unit) sahaja, iaitu lagi sedikit berbanding permohonan minimum dalam kotak itu sendiri iaitu 10,000 lot.

Oleh yang demikian, kalau hendak memohon IPO, walaupun anda mempunyai modal untuk melanggan 50 lot (5,000 unit), sebetulnya anda mohon 40 lot sahaja kerana ianya masih dalam kotak yang sama. Baki duit bagi 10 lot yang lain anda bolehlah gunakannya untuk permohonan IPO yang sama menerusi CDS yang lain, untuk meningkatkan kemungkinan untuk berjaya mendapatkan IPO tersebut.

PERMOHONAN IPO MITI LAGI SENANG DAPAT?

Selalu saya dengar bahawa peluang melanggan IPO menerusi MITI ini lagi tinggi dan lagi senang dapat jika dibandingkan dengan memohon menerusi langganan awam, kerana kita tak perlu berebut dengan kaum lain. Itu adalah benar, kerana bagi setiap IPO, MITI akan dapat bahagian yang khusus untuk langganan bumiputera dan ianya dibuka jauh lebih awal daripada IPO awam. Jadi, anda boleh memohon menerusi MITI dahulu dan sekiranya tidak berjaya, anda boleh memohon sekali lagi menerusi IPO awam di mana permohonan anda akan sekali lagi diasingkan mengikut kategori sama ada kategori bumiputera ataupun bukan bumiputera.

CAJ

Kalau permohonan melalui Maybank2u, caj RM1.00 dikenakan. Manakala RM0.06 lagi adalah caj GST. Jumlahnya RM1.06.

GARIS MASA MEMOHON IPO

Beberapa tarikh yang perlu diberi perhatian ialah:
1. Tarikh permohonan ditutup. Berdasarkan pengalaman saya memohon IPO menggunakan Maybank2u, permohonan ditutup tepat jam 5.00 petang pada tarikh ini. Selepas permohonan dihantar, wang modal akan terus dipotong dari akaun Maybank anda, dan akan dipulangkan (auto-reversed) selepas balloting diadakan jika tidak berjaya.
2. Tarikh cabutan (balloting). Cabutan akan dibuat pada balloting date. Pengalaman saya memohon untuk IPO Ikhmas, tarikh balloting agak lama selepas tarikh permohonan ditutup. Kira-kira hampir dua minggu selepas tarikh tutup permohonan. Oleh itu, bagi siapa yang tiada modal yang besar, pastikan duit anda mencukupi untuk tempoh ini. Digalakkan juga untuk melewatkan permohonan, barulah tak lama sangat duit anda kena lock.
3. Allotment date. Ini ialah tarikh saham anda akan dikreditkan ke akaun CDS anda. No komen sebab tak pernah berjaya dalam permohonan lepas.
4. Listing date. Ini ialah tarikh saham anda akan mula diniagakan di pasaran saham, dan hari dimana ramai pelabur akan terus menjual saham mereka pada harga lebih tinggi. Ingat, walaupun IPO memang biasanya dijual pada hari pertama, itu ialah IPO saham sahaja. IPO untuk REIT, ETF dan ETBS (Exchange Traded Bond and Sukuk) kita tak main macam tu ok. Cara main dia lain sikit. Buat malu je jual ETBS pada hari pertama, hehe.

Friday, 10 July 2015

Peluang buat duit dari rumah sebagai freelance coder!

Bekerja dari rumah bukan lagi suatu yang asing pada era teknologi ini.

Ada yang buat duit dengan join program affiliate, ada yang jual produk melalui blog, facebook mahupun instagram.

Ada juga yang menawarkan pelbagai servis seperti copywriting, design grafik dan pelbagai servis lagi menerusi internet dan ianya memang boleh menghasilkan pulangan jika dibuat dengan cara yang betul.

Jadi hari ini saya ingin berkongsi pula tentang peluang jana duit sebagai freelance coder.

Apa tu freelance coder? Freelance coder ialah seorang yang menawarkan service coding/programming kepada mana-mana syarikat IT yang memerlukan khidmat ini, berasaskan kepada project-basis.

Dengan kata lain, kerja sebagai freelance coder ini bukan suatu kerja tetap, dah namanya pun freelance sahaja.

Oleh itu, bagaimanakah untuk menjadi freelance coder ini?

Sudah tentu anda memerlukan ilmu dan skill yang betul membuat kerja programming seperti ini.

Jika sebelum ini anda mungkin perlu kepada satu degree dalam sains komputer untuk mendapatkan skill programming, kini tidak lagi.

Mari saya bagi tahu anda satu program fast track untuk mendapatkan skill programming.






Code Division Academy, sebuah akademi yang menawarkan khidmat latihan dalam bidang IT dengan kerjasama MaGIC menawarkan sebuah kursus selama 9 minggu untuk menyiapkan para peserta dengan skill yang betul untuk menjadi seorang programmer.


Dengan menyertai kursus ini, anda akan:

  • Mempunyai pengetahuan untuk membina sebuah apps mobile mengikut idea inovasi anda
  • Beroleh peluang pekerjaan di syarikat-syarikat IT dan startup company
  • Sudah tentu, boleh menggunakan skill programming untuk bekerja sebagai freelance coder dari rumah!!!


Menurut lamanweb Code Division, 99% lepasan kursus mereka ini berjaya memulakan syarikat teknologi sendiri ataupun diupah sebagai software developer bagi syarikat teknologi.

Untuk menyertai kursus ini, sudah tentu anda akan dikenakan bayaran seperti mana kursus-kursus lain juga. Berapakah bayarannya?

RM9,000 sahaja.

Ya, RM9,000. Tapi ini adalah harga beberapa bulan lepas.

Kini, sebagai tawaran untuk masa terhad kepada rakyat Malaysia, yuran penyertaan sudah dikurangkan kepada RM1,000 sahaja.

Diskaun sebanyak RM8,000. Banyak tu. Tapi tawaran ini untuk masa yang terhad sahaja.

Sila daftarkan diri anda di sini.

Code Division MaGIC Bootcamp

p/s: Anda rasa kursus ini berguna dan peluang baik untuk menjadi usahawan IT? Kongsikan artikel ini kepada orang terdekat sekeliling anda dan kawan anda, ia mungkin bakal mengubah idea inovasi mereka kepada sebuah syarikat IT gergasi dunia!

Sunday, 21 June 2015

Bagaimana nak bezakan madu asli atau tidak?

Madu merupakan makanan yang popular diyakini baik untuk kesihatan. Bahkan di dalam Al-Quran disebutkan bahawa madu itu diciptakan Allah sebagai penyembuh kepada pelbagai penyakit.

Namun, oleh kerana ianya sudah menjadi produk komersil di pasaran, ramai di kalangan kita yang ragu sama ada madu yang beli itu 100% asli ataupun telah dicampur dengan sesuatu yang menjejaskan keasliannya.

Saranan yang paling biasa dicadangkan untuk mengetahui sama ada madu itu asli atau tidak ialah dengan melihat sama ada semut akan mengerumuni madu itu atau tidak apabila ia diletakkan di tempat yang terbuka.

Jika ianya madu asli, semut tidak akan datang kepadanya. Tetapi jika madu itu sudah ditambah dengan gula, sudah tentu semut akan datang mengerumuninya.

Biasa kan dengar cara ini?

Malangnya, menurut ramai penternak lebah, semut ini tidak kenal sama ada madu itu asli atau tidak. Semua madu bahkan apa jua yang manis pasti akan didatangi semut. Maka cara yang dicadangkan tadi adalah tidak tepat.

Selain cara ini, sebenarnya ada beberapa lagi cara yang boleh dilakukan untuk mengenal pasti keaslian madu.

Namun, di sebalik setiap uji kaji yang dilakukan itu, kita hendaklah tahu bahawa semuanya itu tidaklah 100% tepat dan hanyalah sebagai rujukan sahaja.

Antara uji kaji yang boleh dilakukan ialah:
1) Uji kaji campuran sirap gula dalam madu.
Curahkan sedikit madu ke dalam segelas air yang suam. Perhatikan bagaimana madu itu terlarut ke dalam air suam itu. Madu yang asli bila mana dicampur ke dalam air akan mendap ke dasar air dan kemudiannya secara perlahan-lahan akan larut ke dalam air. Namun, jika madu itu larut serta merta di dalam air, madu itu berkemungkinan telah dicampur dengan sirap gula.

2) Uji kaji campuran air dalam madu
Basahkan putik kapas (cotton bud) dengan madu. Kemudian, cuba nyalakan api pada putik kapas itu. Jika madu itu asli, putik kapas itu akan terbakar namun sebaliknya jika terdapat unsur air dalam madu itu, air akan menghalang dari putik kapas itu terbakar.

Saya ada jumpa satu video dekat Youtube yang buat uji kaji ini.
Jom kita saksikan. Sekian.


Thursday, 12 March 2015

Hukum pelaksanaan GST di Malaysia

Hukum pelaksanaan GST di Malaysia merupakan topik yang hangat dibincangkan oleh rakyat Malaysia waktu ini. Dengan hanya beberapa hari sahaja lagi menjelang pelaksanaannya, rakyat mula merasa bimbang dan gusar dengan ketidak tentuan kesan daripada pelaksanaan GST nanti.

Asas perbincangan hukum GST ini adalah pada hukum adakah dibenarkan cukai dikenakan keatas rakyat pada pandangan Islam. Hal ini kerana GST ini adalah hanya salah satu daripada lain-lain cukai yang telah dilaksanakan di Malaysia seperti cukai tanah dan cukai pendapatan, bahkan ia juga adalah sebagai ganti kepada Sales and Services Tax (SST) yang bakal dimansuhkan nanti.

Lalu, apakah Islam mengharamkan cukai dikenakan ke atas rakyat? Oleh kerana tiada dalil qat'ie yang menunjukkan haram cukai ke atas rakyat, maka jawapannya tidaklah semudah ABC kerana dalam disiplin ilmu usul fiqh dan maqasid syariah, sesuatu hukum itu tergantung kepada prinsip mencari maslahah dan menolak kemudharatan.

Oleh yang demikian, sebagai orang awam, eloklah kita rujuk sahaja fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh pihak berwajib. Antaranya ialah fatwa dari Majlis Fatwa Kebangsaan yang menghukumkan harus GST dengan syarat (boleh rujuk link ini):

i. Kerajaan Komited Melaksanakan Syariat Islam;
ii. Kerajaan Memerlukan Sumber Kewangan;
iii. Cukai Yang Dikutip Hanya Untuk Memenuhi Maslahah Dharuriyat dan Hajiyat;
iv. Bebanan Cukai Dikutip Secara Adil;
v. Cukai Dibelanjakan Untuk Maslahah Ummah Bukan Untuk Maksiat;
vi. Agihan Cukai Hendaklah Bertepatan Dengan Ijtihad Ulama Semasa dan setempat


Pun begitu, saya TIDAK MENYOKONG usaha kerajaan untuk menambahkan pendapatan negara melalui GST memandangkan kerajaan masih boleh menambahkan pendapatan negara dengan mengurangkan ketirisan dan melakukan perbelanjaan berhemat.

Berkenaan isu ini juga, elok kiranya kita mendengar pandangan dari Ustaz Zaharuddin Ab Rahman, Presiden Murshid tentang pro dan kontra pelaksanaan GST di Malaysia menerusi video di bawah.




Selesai menonton video ini, beberapa pengajaran yang boleh dipelajari ialah:
1) Sebelum kita mengambil pendirian dalam satu-satu isu, seeloknya kita mengambil kira hujah dari kedua-dua belah pihak. Jangan hanya kerana kita menyokong satu parti, apa jua yang baik dari parti lawan semuanya kita tolak. Perkara ini boleh diamalkan dalam semua perkara, termasuklah pertikaian dalam isu bid'ah dan sebagainya.

2) Saya menyanjungi usaha dari UZAR kerana walaupun latar belakang pengajian beliau adalah pelajar agama, beliau masih lagi berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk memahami bidang-bidang teknikal seperti cukai, ekonomi dan lain-lain. Sungguh saya tak dapat membayangkan bagaimanakah cara beliau menggunakan masa-masa beliau untuk menjadi pakar dalam bidang syariah, bahkan pakar juga dalam kewangan Islam dan ekonomi secara umumnya.

3) Saya kagum dengan segala fakta-fakta yang dibawakannya dalam video ini, menunjukkan betapa sesuatu homework perlu dibuat sebelum mengeluarkan apa-apa pandangan dalam sesuatu isu.






Wednesday, 28 January 2015

Harga emas di Malaysia naik 20% dalam tempoh sebulan

Bismillah

Lama betul tak update tentang harga emas sampai tak sedar yang harga emas di Malaysia dah melonjak melebihi 20% dalam tempoh tak sampai sebulan.

Kalau ikutkan chart di bawah, harga tertinggi yang pernah dicatat adalah pada tahun 2011 iaitu pada harga RM181/gram kemudian terus merudum ke paras RM124/gram.


Dalam tempoh yang sama, harga emas di US jatuh dari $1,889/auns ke paras $1,140/auns.

Ketika catatan ini ditulis, harga emas di Malaysia ialah RM150/gram manakala di US ialah $1290 seauns.

Itu bermakna harga emas di Malaysia telah melonjak sebanyak RM26/gram (20%) dari paras terendah sedangkan di US hanya melonjak sebanyak $150/auns (13%).

Yang demikian adalah kerana nilai ringgit yang semakin lemah menyebabkan nilai emas di Malaysia lebih berharga berbanding dengan ringgit. Dengan kata lain, pelabur di Malaysia cenderung untuk menukar aset mereka daripada tunai kepada emas kerana nilai ringgit yang menyusut yang mengakibatkan permintaan kepada emas di Malaysia menjadi lebih tinggi.

Oleh yang demikian, pelabur emas di Malaysia bukan sekadar perlu peka dengan harga emas yang didagang di US tetapi juga perlu peka dengan kadar tukaran USD/MYR.

Setakat hari ini, harga emas KFH adalah seperti berikut:

Ini bermaksud kos melabur dengan KFH adalah sebanyak 5.5%. (tinggi nyer!)

Sekian.


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts