MUHASABAH

Sudahkah anda berselawat hari ini? Tahu tak, seorang alim pada zaman dahulu pernah berkata, "Aku tahu bila akan Allah berselawat kepadaku". Orang ramai terkejut lalu bertanya, "Ya sheikh, mengapakah kamu jadi begitu bongkak seolah-olah kamulah tuhan?" Lalu dia menjawab, "Sesungguhnya apabila seorang hamba berselawat kepada nabi Muhammad s.a.w. sekali, maka Allah akan berselawat kepadanya 10 kali".

Tuesday, 2 September 2014

Khalid dicadang ketuai MAS

Penulis berasa cukup tertarik membaca lontaran cadangan yang dibuat oleh saudara Muhammad Tawfik Yaakub dalam sebuah penulisannya dalam The Malaysian Insider yang bertajuk "Khalid tokoh terbaik pulih MAS"-2 Sept 2014. Boleh baca disini.

Secara umumnya, penulis agak teruja dengan cadangan ini memandangkan kejayaan demi kejayaan serta sumbangan Khalid sewaktu beliau dalam dunia korporat mahupun semasa memegang tampuk kerajaan Selangor membuktikan yang beliau benar-benar seorang tokoh dan negarawan.

Bahkan, ramai juga pemberi komen dalam tulisan tersebut bersetuju dengan cadangan yang dianggap bernas ini.

Disifatkan sebagai tokoh yang berintegriti dan melaksana urus tadbir yang telus, saya tidak hairan dengan pendirian PAS sebelum ini yang mempertahankan Khalid sebagai MB Selangor.

Bahkan saya juga mempunyai fikrah yang sama.

Menurut Ustaz Khairuddin at-Takiri, tindakan mempertahankan Khalid sebelum ini adalah kerana ianya di atas prinsip Islam yang tidak menyokong sebarang kezaliman. Kezaliman bukan sahaja boleh dilakukan ke atas rakyat sahaja, ia boleh juga berlaku ke atas pemimpin iaitu dengan menolak pemimpin yang bersih dari terus menerajui kepimpinan.

Bahkan, saya menjadi lebih kagum dengan kenyataan Khalid bahawa dia senang meninggalkan tampuk kerusi panas itu andai dia bisa meninggalkan sebuah legasi terutamanya dalam menangani masalah air di Selangor.

Ternyata bagi saya ini menunjukkan beliau bukanlah seorang yang gila kuasa seperti yang dilabel oleh sesetengah pihak, bahkan beliau dengan rendah hatinya menyatakan kesediaan untuk meletakkan nasibnya sebagai MB di tangan PAS.

Kekal jika masih diingini, turun juga akan dituruti, andai itulah keputusan PAS.

Sungguh, penulis amat mengimpikan Malaysia untuk mempunyai ahli politik yang lebih bersifat negarawan, yang berjuang dan berkhidmat untuk rakyat, bukannya berpolitik 24 jam tanpa ada kesudahan. 

Parti politik baik parti pemerintah mahupun parti pembangkang boleh mengenepikan perbezaan demi untuk maslahah rakyat. Sama-sama berganding bahu memajukan negara, bukannya asyik berjuang demi kepentingan diri.

Seperti juga impian Ustaz Hasrizal, memilih pemimpin bukan lagi antara memilih yang baik dan menolak yang buruk, tetapi memilih yang terbaik antara dua yang baik.



Apakah keperluan kepada sebuah mega islamic bank?

Menurut Tan Sri Zeti Aziz, sebuah bank islam yang bersaiz mega diperlukan untuk membawa kewangan Islam maju setapak ke hadapan dalam sistem kewangan antarabangsa.

Ianya diperlukan untuk membolehkan bank tersebut menjalankan bisnes berskala antarabangsa, membantu aliran kewangan antarabangsa yang melintasi sempadan negara-negara seterusnya membantu hubungan perdagangan antarabangsa.

Menurutnya lagi kewangan Islam sudah mula diterima penduduk antarabangsa dengan munculnya negara-negara yang majoriti penduduknya bukan Islam menerbitkan sukuk contohnya seperti Jepun dan UK.

Hal ini kerana masyarakat ingin melihat sistem kewangan yang diamalkan betul-betul berkait dengan aktiviti ekonomi yang sebenar,yang mana kewangan Islam sudah menyediakan platform yang tepat ke arah itu. 

Di dalamnya terdapat penekanan terhadap urus tadbir yang baik, pengurusan risiko yang berkesan dan ketelusan dan keterbukaan yang merupakan elemen-elemen penting dalam sebuah ekonomi yang maju.

Cabaran Perbankan Islam dalam melaksanakan Basel III

Seluruh bank akan mula beralih untuk menerapkan prinsip Basel III dalam operasi perbankan masing-masing seperti yang dikehendaki menurut ketetapan yang diputuskan oleh badan berwajib tempatan, tidak kira perbankan Islam mahupun konvensional.

Basel III secara umumnya menekankan bank untuk mencapai dan mempunyai modal melebihi standard modal minima yang diperlukan.

Pada dasarnya, perbankan Islam dilihat tidak mempunyai masalah untuk melaksanakan Basel III kerana kebanyakannya beroperasi di negara Teluk dan Asia Tenggara yang kebanyakannya mempunyai sistem ekonomi yang masih utuh.

Kemudian, prinsip yang diamalkannya seperti menolak unsur spekulasi kewangan juga menjuruskan perbankan Islam ini untuk menjauhi daripada terlibat dengan instrument kewangan derivatif mahupun aset berisiko tinggi yang berstruktur kompleks, di mana telah banyak bank konvensional yang tenggelam apabila dunia berhadapan krisis kewangan.

Namun, sesuatu yang menjadi cabaran buat perbankan Islam ialah dalam menangani masalah wang akaun deposit. Oleh kerana pembayaran interest tidak digalakkan dalam kontrak simpanan wadiah kerana hampir mirip kepada konsep riba, maka perbankan Islam terpaksa berpindah kepada kontrak mudharabah iaitu akaun pelaburan secara perkongsian keuntungan antara bank dan pendeposit.

Sudah menjadi kefahaman umum bahawa dengan melaksanakan konsep perkongsian keuntungan ini akan menyebabkan keuntungan yang diraih oleh bank dan pendeposit kedua-duanya tidak akan tetap dan berubah-ubah mengikut prestasi pelaburan tersebut menyebabkan ianya dianggap volatile dan lebih berisiko.

Sedangkan pada sudut lain ianya menjamin kedudukan bank kerana bank tidak perlu membayar keuntungan kepada pendeposit andai pelaburan yang dilakukan tidak membawa keuntungan bahkan sebaliknya dalam kerugian. 

(Nota: penulis agak kurang faham kenapa keuntungan yang volatile boleh didefinisikan sebagai berisiko berbanding mendefinisikan risiko kerugian (keuntungan yang negatif) itu sebagai risiko yang mutlak?)

Oleh yang demikian, kerana akaun mudharabah ini dianggap lebih berisiko daripada akaun simpanan konvensional, maka perbankan Islam memerlukan lebih banyak aset pelaburan berkualiti tinggi dan cair (High Quality Liquid Asset) sedangkan ianya amatlah terhad dalam keadaan pasaran sekuriti Islam yang masih setahun jagung.

Menurut Basel III, perbankan Islam diperlukan untuk mempunyai HQLA secukupnya untuk membayar aliran tunai keluar untuk tempoh 30 hari jika berlaku sebarang krisis ekonomi.

Dalam perkembangan berkaitan, Islamic Financial Standard Board (IFSB) yang beribu pejabat di Kuala Lumpur bakal mengeluarkan suatu garis panduan tentang bagaimana regulator akan mengendalikan akaun pelaburan mudharabah seawal tahun depan.

Itu termasuklah garis panduan hak-hak pendeposit dalam akaun mudharabah dan juga sama ada pendeposit boleh mengeluarkan wang deposit dalam akaun tersebut dalam tempoh 30 hari bermula dari tempoh deposit wang dibuat tanpa sebarang denda.



LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts