MUHASABAH

Sudahkah anda berselawat hari ini? Tahu tak, seorang alim pada zaman dahulu pernah berkata, "Aku tahu bila akan Allah berselawat kepadaku". Orang ramai terkejut lalu bertanya, "Ya sheikh, mengapakah kamu jadi begitu bongkak seolah-olah kamulah tuhan?" Lalu dia menjawab, "Sesungguhnya apabila seorang hamba berselawat kepada nabi Muhammad s.a.w. sekali, maka Allah akan berselawat kepadanya 10 kali".

Wednesday, 13 January 2016

Catatan Kursus Penulisan Kritis bersama Tuan Hasbie Muda

Dua minggu lepas saya berkesempatan untuk menghadiri Kursus Penulisan Kritis yang dikelola oleh Tuan Hasbie Muda. Di sana, beliau menceritakan sendiri pengalaman beliau dalam menghasilkan buku beliau dan bagaimana kali pertama tercetusnya idea untuk menghasilkan buku.

Kreatif vs Kritis

Kursus tersebut dimulakan dengan penjelasan mengapa beliau menamakan seminar beliau sebagai penulisan kritis berbanding memilih untuk bercerita mengenai penulisan kreatif. Sebagai perbandingan, penulisan kreatif adalah berupa penulisan-penulisan kesasteraan seperti puisi, syair, sajak, pantun dan sebagainya, manakala penulisan kritis pula merupakan penulisan yang lebih berat dan kritikal.

Penulisan kritis itu mempunyai ciri-ciri berikut iaitu ianya mestilah berdasarkan fakta yang tepat dan ianya adalah hasil analisis yang kritis oleh penulis terhadap fakta tersebut. Dengan membaca isi buku Kemenangan Yang Tertangguh hasil tulisan beliau sendiri, secara tidak langsung dapat difahami bagaimana penulisan kritis itu berbeza dengan penulisan kreatif.

Penulisan kritis juga termasuklah penulisan berkenaan penemuan baru seperti yang dihasilkan oleh para graduan di university di mana mereka mengambil sikap kritikal pada hasil penemuan tersebut. Beliau ada menyebutkan, sebagai contoh kepada penemuan baru ini ialah isu yang timbul tidak berapa lama dulu iaitu isu sama ada Mat Indera adalah pejuang kemerdekaan ataupun tidak. Melalui hasil penemuan tersendiri, penulis yang kritis akan cuba untuk mencabar fakta yang sedia ada diterima umum sebagai sebaliknya.

Walaubagaimanapun, sesuatu penulisan itu tidak hanya terbahagi kepada dua jenis sahaja iaitu sama ada kreatif atau kritis sahaja, tetapi juga boleh tergabung dalam kedua-dua bentuk. Sebagai contoh karya-karya Pak Latif Talib yang cuba menceritakan fakta sejarah (kritis) secara kreatif. Namun, tidak saya katakan bahawa penulisan sebegitu bagus kerana telahpun saya fahami bahawa tulisan begini agak berbahaya kepada umum kerana pada akhirnya ianya boleh menokok tambah kepada fakta sejarah itu sendiri.

Penulisan kritis membentuk pemikiran masyarakat
Antara tujuan kepada penulisan kritis pula ialah ianya bertujuan untuk menetapkan sikap masyarakat terhadap sesuatu topik. Di sinilah pentingnya akan keperluan hadirnya penulis-penulis Islamis kerana idea-idea yang akan dibawakannya akan hidup dan dibawa bersama oleh arus pemikiran masyarakat. Sekiranya banyak pandangan akan sesuatu topic yang dipersembahkan kepada masyarakat adalah hasil pemikiran yang songsang, maka begitulah masyarakat akan dipengaruhi oleh idea-idea songsang itu.

Selain itu, penulisan yang kritis juga berguna untuk memperkenalkan dan mempromosikan idea baru. Dengan menggunakan media sosial sebagai medium penulisan baharu, idea-idea ini lebih senang untuk dipromosikan. Sebagai contoh baru-baru ini media sosial digunakan oleh begitu ramai penulis aktivis untuk membawa idea anti-vaksin. Sekiranya kurangnya aktivis pro-vaksin hadir untuk menangkis dan mencabar idea itu melalui penulisan-penulisan, maka kita akan lihat bagaimana akhirnya masyarakat mengambil sikap untuk condong kepada idea anti-vaksin juga.

Genre buku di pasaran
Buku-buku yang dijual di pasaran datang dalam tiga genre iaitu buku popular, buku akademik dan buku semi akademik. Biasanya, buku popular ini ialah buku bestseller yang sangat laku di pasaran. Walaupun begitu, buku-buku popular ini biasanya lebih beremosi dan bias mengikut sudut pandang penulis menjadikan ianya sukar untuk dijadikan rujukan dalam dewan kuliah. Tajuk buku pula lebih catchy,isinya berkait dengan peristiwa semasa, tidak mempunyai rujukan dan biasanya lebih berdasarkan pengalaman peribadi.

Sebaliknya, buku yang boleh dijadikan rujukan dalam dewan kuliah ialah buku-buku akademik iaitu penulisan hasil kajian yang mendalam tentang sesuatu isu. Contohnya ialah buku-buku hasil adaptasi daripada tesis kajian graduan di university. Namun kerana ianya agak berat, maka ianya lebih susah untuk dijual di pasaran.

Di antara buku popular dan buku akademik, maka datangnya satu lagi genre buku di pertengahannya iaitu buku semi akademik, yang mempunyai kelebihan berupa isi yang ilmiah tetapi lebih senang untuk dijual di pasaran. Buku semi akademik ini biasanya mempunyai tajuk yang menarik tetapi tidaklah keterlaluan, mempunyai summber rujukan tetapi tidak lengkap dan isinya mungkin neutral dan mungkin juga bias.

Tips penulisan buku

1. Banyakkan membaca.
  •          Apabila ditanya kepada Pak Samad, Sasterawan Negara berkenaan bagaimana beliau menulis, jawapan beliau ialah “Baca, baca dan baca, kemudian menulis”

2. Membaca secara pantas (“Speed reading”)
  • Tujuan: Ini adalah skil yang kritikal dalam usaha menambah sumber rujukan dalam hasil karya kita
  • Langkah:
-          Pertama, kita kena tahu dan faham apa tujuan buku tersebut. Sebagai permulaan ianya boleh didapati dari ringkasan di belakang buku dan juga dan memerhati bahagian Isi kandungan buku.
-          Kedua, tidak perlu untuk habiskan keseluruhan buku tersebut, memadai dengan pergi terus kepada muka surat dan isi yang dikehendaki dari buku tersebut
-     Dua langkah ini sahaja sudah cukup untuk kita letakkan buku tersebut dalam rujukan buku yang kita hasilkan

3. Kenali latar belakang dan kepakaran penulis buku
  • Tujuan: Ini adalah untuk memastikan rujukan yang diberikan adalah berautoriti dan berpengaruh
  • Salah satu caranya adalah dengan menyemak CV penulis di Google, termasuklah boleh didapati CV para pensyarah di laman web university masing-masing, contohnya UM Expert

4. Tulis sesuatu topic yang sedang hangat di arus perdana (trending)
  • Tujuan: Untuk mudah dijual di pasaran
  • Biasanya isu yang hangat di media massa perlukan kepada solusi dan panduan, maka disitu wujudnya permintaan kepada buku-buku kritikal. Contoh yang paling relevan ialah terbitnya buku Kemenangan Yang Tertangguh dalam masa yang pendek sejurus sahaja PRU13.

Sunday, 27 September 2015

Persiapan percutian bajet ke Perth

Hari ini dah masuk 28 September, bermakna dalam tempoh sebulan lagi kami bertiga akan ke Perth, Australia selama 4 hari 4 malam.

Sejujurnya, persiapan kami setakat ini amatlah kurang walaupun telah menempah tiket sudah lama.

Setakat ini, apa yang kami telah lakukan adalah menempah tiket penerbangan dan selesai membuat visa ke Australia. Itu sahaja. Hotel belum tempah, itinerary pun belum tentukan untuk ke mana.

Untuk tiket penerbangan, tiket yang kami tempah pada 23 Mac lalu cukup murah, harganya adalah RM347 sahaja untuk penerbangan pergi dan balik seorang, merangkumi harga tiket sebanyak RM26 manakala selebihnya adalah untuk airport tax dan lain-lain, tidak termasuk harga bagasi yang belum kami tempah.

Untuk visa pula, kami baru sahaja buat bayaran melalui laman web easyeta.com iaitu sebanyak 12 SG dollar seorang dan ianya masih dalam proses pengesahan oleh pihak imigresen Australia dan masih lagi belum mendapat pengesahan.

Bersambung.

Monday, 7 September 2015

Panduan memohon saham IPO

Buat yang kurang biasa dengan kaedah memohon IPO, di bawah saya sediakan beberapa garis panduan dalam proses memohon IPO.

KAEDAH MEMOHON IPO

Bagi pelabur bumiputera, ada dua kaedah yang boleh digunakan bagi memohon IPO, iaitu
1. Memohon dengan status sebagai bumiputera dengan MITI. Untuk melanggan IPO sebagai bumiputera, anda hendaklah terlebih dahulu berdaftar sebagai pelabur dengan MITI, iaitu dengan menghantar beberapa dokumen kepada MITI. Proses pendaftaran ini sekali sahaja, apabila pendaftaran sudah disahkan, anda boleh terus memohon mana-mana IPO yang ditawarkan oleh MITI. Untuk kaedah untuk mendaftar sebagai pelabur MITI, anda boleh rujuk tulisan pakdi di link berikut. Cara Beli Saham IPO Melalui MITI.

2. Memohon melalui undian awam. Untuk memohon melalui undian awam, ada beberapa cara boleh dilakukan iaitu menerusi ATM dan secara online banking. Walaupun saya boleh memohon menerusi MITI, saya lebih suka memohon menerusi kaedah kedua ini, iaitu melalui online banking kerana sudah terbiasa melakukan transaksi secara atas talian ini. Ianya lebih cepat dan mudah kerana tidak perlu menghantar apa-apa borang. Sebagai panduan memohon menerusi CIMB online banking, anda boleh rujuk link ini. How to apply for IPO via Internet Banking. Untuk Maybank online banking, rujuk disini. Cara Membeli IPO di Maybank2u.

JUMLAH UNIT YANG BOLEH DIMOHON

Jumlah permohonan unit IPO adalah bergantung kepada berapa banyak modal yang anda ada, dan ianya boleh dilakukan dalam gandaan 100 unit, sama sahaja dengan unit di pasaran biasa. Di pasaran biasa, unit minima yang boleh anda beli ialah 100 unit iaitu bersamaan dengan 1 lot. 

KAEDAH CABUTAN DAN UNDIAN

Selepas anda berjaya menghantar permohonan langganan IPO, permohonan anda akan diasingkan kepada dua kategori seperti di atas iaitu kategori bukan bumiputera dan kategori bumiputera. Bagi setiap kategori ini, permohonan anda akan diasingkan lagi kepada beberapa kotak cabutan yang berasingan, bergantung kepada jumlah unit yang dipohon. Rujuk kepada imej di bawah sebagai panduan (klik untuk besarkan).


Basis of IPO allotment
Seperti dalam kotak hijau yang saya buatkan dalam gambar di atas, permohonan IPO anda akan diasingkan ke dalam kotak cabutan yang berasingan mengikut jumlah unit yang dipohon. Menurut imej di atas, permohonan untuk bawah 10 lot (1000 unit) akan diasingkan dalam satu kotak, permohonan untuk 10-19 lot dalam kotak lain, 20-29 lot dalam kotak lain dan seterusnya. Jumlah lot kotak-kotak ini boleh berbeza mengikut IPO yang berlainan, tapi tak jauh beza dari yang di atas.

Dalam kotak biru di atas pula menunjukkan jumlah saham yang akan diperolehi bagi setiap permohonan yang berjaya. Bagi satu kotak undian itu, jumlah saham yang diperolehi adalah sama walaupun jumlah permohonan berbeza. Sebagai contoh, bagi kotak pertama seperti di atas iaitu bagi permohonan 1-9 lot, hanya 1 lot (100 unit) sahaja akan diberikan kepada yang berjaya, walaupun yang berjaya itu sebenarnya memohon 5 lot.

Selain itu, kalau diperhatikan, bagi permohonan yang besar seperti bagi kotak yang terakhir iaitu permohonan bagi 10,000 lot (1,000,000 unit) dan ke atas, permohonan yang berjaya akan diberikan sebanyak 2,000 lot (200,000 unit) sahaja, iaitu lagi sedikit berbanding permohonan minimum dalam kotak itu sendiri iaitu 10,000 lot.

Oleh yang demikian, kalau hendak memohon IPO, walaupun anda mempunyai modal untuk melanggan 50 lot (5,000 unit), sebetulnya anda mohon 40 lot sahaja kerana ianya masih dalam kotak yang sama. Baki duit bagi 10 lot yang lain anda bolehlah gunakannya untuk permohonan IPO yang sama menerusi CDS yang lain, untuk meningkatkan kemungkinan untuk berjaya mendapatkan IPO tersebut.

PERMOHONAN IPO MITI LAGI SENANG DAPAT?

Selalu saya dengar bahawa peluang melanggan IPO menerusi MITI ini lagi tinggi dan lagi senang dapat jika dibandingkan dengan memohon menerusi langganan awam, kerana kita tak perlu berebut dengan kaum lain. Itu adalah benar, kerana bagi setiap IPO, MITI akan dapat bahagian yang khusus untuk langganan bumiputera dan ianya dibuka jauh lebih awal daripada IPO awam. Jadi, anda boleh memohon menerusi MITI dahulu dan sekiranya tidak berjaya, anda boleh memohon sekali lagi menerusi IPO awam di mana permohonan anda akan sekali lagi diasingkan mengikut kategori sama ada kategori bumiputera ataupun bukan bumiputera.

CAJ

Kalau permohonan melalui Maybank2u, caj RM1.00 dikenakan. Manakala RM0.06 lagi adalah caj GST. Jumlahnya RM1.06.

GARIS MASA MEMOHON IPO

Beberapa tarikh yang perlu diberi perhatian ialah:
1. Tarikh permohonan ditutup. Berdasarkan pengalaman saya memohon IPO menggunakan Maybank2u, permohonan ditutup tepat jam 5.00 petang pada tarikh ini. Selepas permohonan dihantar, wang modal akan terus dipotong dari akaun Maybank anda, dan akan dipulangkan (auto-reversed) selepas balloting diadakan jika tidak berjaya.
2. Tarikh cabutan (balloting). Cabutan akan dibuat pada balloting date. Pengalaman saya memohon untuk IPO Ikhmas, tarikh balloting agak lama selepas tarikh permohonan ditutup. Kira-kira hampir dua minggu selepas tarikh tutup permohonan. Oleh itu, bagi siapa yang tiada modal yang besar, pastikan duit anda mencukupi untuk tempoh ini. Digalakkan juga untuk melewatkan permohonan, barulah tak lama sangat duit anda kena lock.
3. Allotment date. Ini ialah tarikh saham anda akan dikreditkan ke akaun CDS anda. No komen sebab tak pernah berjaya dalam permohonan lepas.
4. Listing date. Ini ialah tarikh saham anda akan mula diniagakan di pasaran saham, dan hari dimana ramai pelabur akan terus menjual saham mereka pada harga lebih tinggi. Ingat, walaupun IPO memang biasanya dijual pada hari pertama, itu ialah IPO saham sahaja. IPO untuk REIT, ETF dan ETBS (Exchange Traded Bond and Sukuk) kita tak main macam tu ok. Cara main dia lain sikit. Buat malu je jual ETBS pada hari pertama, hehe.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts