Alhamdulillah, baru sahaja tadi aku sampai di rumah sewaku di Nilai, dan ini bermakna aku kini kembali bergelar "pelajar", seorang pelajar yang akan menghabiskan sisa-sisa pembelajaran formal di peringkat universiti yang hanya berbaki lagi 2 semester.
Perjalanan ke Nilai kali ini diiringi suasana kelam kabut di rumah gara-gara hilangnya bateri netbook yang telah hilang dari pandangan sejak seminggu sebelum Aidil Fitri yang lalu.
Pelik juga, bateri netbook itu yang aku tinggalkan di atas meja di ruang tamu itu tiba-tiba lesap. Aku masih ingat lagi aku cabutnya waktu itu, kerana seeloknya bateri itu dicas sewaktu netbook tidak digunakan. Kalau bateri itu sudah kehabisan "tenaga"nya, janganlah digunakan netbook itu sambil dicas bateri itu. Kalau tidak boleh rosak bateri itu. Setidaknya itulah yang biasa orang perkatakan, walaupun sudah berapa kali juga aku berbuat demikian. Namun tidak pula kali ini, aku cabut juga bateri itu sebelum menggunakan netbook aku.
Namun tidak berapa lama kemudian, barulah disedari bateri netbook itu kini tiada lagi disitu. Ayahku juga sering kali berkata-kata dia juga perasan bateri itu eolk-elok sahaja berehat tersadai di atas meja itu sebelum ini.
Kemudian, habis semua ahli keluargaku telah kutanya perihal bateri ini. Namun malangnya, semua orang menidakkan telah mengalihkan mahupun terambil bateri itu.
Tidak berapa lama selepas itu, Aidil Fitri menjengah tiba. Dan perihal bateri yang hilang ini juga luput dari mindaku seketika. Kerana aku percaya benda alah ni pasti tidakkan kemana. "Pasti ada jua di rumah ini", dengus hati kecilku. Sehinggalah beberapa hari lepas, bila hari aku terpaksa bermusafir sekali lagi untuk menuntut ilmu semakin tiba, baharulah seluruh keluargaku sibuk kembali tercari-cari bateri ini.
Terutama sekali ayah dan ibuku, serta kakakku yang rajin itu, hampir seluruh rumah juga di"geledah" oleh mereka secara aman, tercari-cari dimanakah bateri itu. Aku pun sama, tercari-cari juga, takkanlah tengok sahaja orang lain tercari-cari. Tapi, disebabkan aku biasa cari masa orang takde kat rumah, memang aku ni kelihatan seolah-olah tenang sahaja, tak berusaha langsung nak mencarinya. Sekurangnya itulah yang dikatakan kakakku, "relax betul adik aku yang sorang ni, bateri netbook dia yang hilang, orang lain pula yang sibuk tercari-cari."
Tapi perkara itu memang harus aku akui. Memang aku relax-relax sahaja dengan kehilangan bateri ini. Paling teruk pun, aku ke Nilai nanti membawa netbook tak berbateri la jawabnya. Nak guna pun masa kat rumah sahajalah, tidak boleh lagi kubawa netbook itu ke hulu kehilir didalam kampus nanti, seperti yang biasa aku lakukan pada semester yang lepas.
Mungkin itulah sebabnya aku tenang sahaja kali ini. Walhal, semester kali ini merupakan semester yang cukup mencabar, terpaksa menyiapkan tesis,dan hendak pula menyertai OSKIC. Semua ni memerlukan netbook, dapat gunanya sewaktu dikampus merupakan suatu bonus, ditambah pula dengan capaian internet di kampus melengkapkan kemudahan untuk aku menyiapkan tesis serta memantau harga saham.
Akhirnya, pada tengah hari tadi, terjawab jua teka-teki dimanakah bateri netbook itu. Adikku yang bongsu itu menjumpainya di bilik buku dirumah. Akhirnya termakbul jua doaku. Doa? Ya, cerita doa ini tidak aku ceritakan tadi. Disamping mencari bateri itu, aku panjatkan juga doa kepada Allah s.w.t supaya berilah petunjuk kepadaku dimanakah bateri ini. Benar, kadang-kadang, apabila manusia menghadapi masalah walaupun masalah yang kecil, sering mereka terlupa untuk meminta dari Allah selain dari usaha mereka sendiri. Walaupun perkara yang kecil sekalipun, mohonlah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat-amat sukakan hambanya yang meminta kepadanya. Semakin banyak kali diminta, semakin disukaiNYA.
Jika perkara yang kecil macam ini pun boleh kita meminta pertolongan dari Allah, apa lagi dengan masalah yang besar. Lagilah perlu kita minta pertolongan dariNYA.
Mungkin doa itu jugalah yang menyebabkan aku berasa tenang-tenang sahaja....
p/s: Bukan cerita doa yang makbul hendak aku ceritakan, berdoalah sentiasa kepada Allah walaupun perkara itu kecil, ini mesej yang hendak disampaikan. Akupun tidak berani mengatakan doa aku makbul, mengatakan doa makbul itu seolah-olah aku ini sangat baik lah pula, macam seorang yang diberkati doanya. Sebaliknya aku anggap mungkin ini rahmat Allah yang maha pemurah kepadaku untuk memudahkan hambanya meneruskan kelangsungan pembelajaran semester ini. Wallahuaklam.
11.32 p.m, Nilai
No comments:
Post a Comment