MUHASABAH

Sudahkah anda berselawat hari ini? Tahu tak, seorang alim pada zaman dahulu pernah berkata, "Aku tahu bila akan Allah berselawat kepadaku". Orang ramai terkejut lalu bertanya, "Ya sheikh, mengapakah kamu jadi begitu bongkak seolah-olah kamulah tuhan?" Lalu dia menjawab, "Sesungguhnya apabila seorang hamba berselawat kepada nabi Muhammad s.a.w. sekali, maka Allah akan berselawat kepadanya 10 kali".

Wednesday, 18 September 2013

Peringatan Ibadah Korban

Bismillah.

Musim korban akan menjengah tiba tidak lama lagi. Saya sendiri belum pernah ada pengalaman berkorban yakni menggunakan duit sendiri untuk mengorbankan lembu atau kambing, walaupun pernah sahaja turut sama dalam aktiviti korban dan makan daging korban itu.

Pun demikian, ada sedikit peringatan yang ingin disampaikan kepada yang ingin melakukan ibadah korban, mudah-mudahan jadi peringatan kepada diri ini juga apabila sampai tiba masanya nanti.

Pertama, bagi yang sudah niat untuk berkorban, perlu ingat bahawa bila masuknya bulan Zulhijjah, anda sudah tidak digaalakkan untuk memotong kuku, memotong rambut dan mencabut apa-apa bulu yang terdapat pada badan sehinggalah  selesai korban. Oleh yang demikian, orang yang berkorban seeloknya membuat reminder atau peringatan dalam smartphone masing-masing iaitu untuk menyelesaikan segala urusan potong rambut, potong kuku, andam misai dan sebagainya tepat  pada 29 ZulKaedah.

Ulama berselisih pandangan tentang hukum melakukan yang sedemikian bagi orang yang berkorban di dalam bulan Zulhijjah yakni sebelum diselesaikan korban. Imam Syafie berpandangan bahawa melakukan yang sedemikian itu hukumnya makruh yang sangat-sangat dibenci Allah sehingga mendekati kepada hukum haram.

Kedua, berkenaan korban di luar negara. Dinasihatkan supaya jangan sampai tiada korban di kampung masing-masing kerana berkorban di negara Islam yang miskin. Adapun melakukan yang sedemikian juga telah mematikan satu sunnah iaitu untuk orang berkorban sendiri dapat menyembelih  daging korban itu atau pun sekurangnya berada sama di tempat sembelihan dijalankan di samping tidak dapat membaca doakan yang dikhususkan semasa menjalankan ibadah korban.

Ketiga, berkenaan hukum orang kafir memakan daging korban. Menurut Imam Nawawi, tidak ada masalah bagi orang kafir untuk memakan daging korban. Adapun sebaiknya ianya diberikan jika mereka yang datang bertandang ke rumah kita, bukannya kita yang sukarela membahagikan daging korban kepada mereka sama seperti kita menghadiahkan daging korban kepada jiran tetangga, sahabat-sahabat dan sedekah kepada fakir miskin.

Yang terakhir mengenai puasa di hari Arafah. Nabi bersabda puasa satu hari di Hari Arafah, Allah akan mengampunkan dosa hambanya setahun yang lalu dan setahun yang akan datang. Adapun hadis ini adalah sohih, maka amat rugi bagi siapa yang tidak berpuasa pada hari tersebut.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts