MUHASABAH

Sudahkah anda berselawat hari ini? Tahu tak, seorang alim pada zaman dahulu pernah berkata, "Aku tahu bila akan Allah berselawat kepadaku". Orang ramai terkejut lalu bertanya, "Ya sheikh, mengapakah kamu jadi begitu bongkak seolah-olah kamulah tuhan?" Lalu dia menjawab, "Sesungguhnya apabila seorang hamba berselawat kepada nabi Muhammad s.a.w. sekali, maka Allah akan berselawat kepadanya 10 kali".
Showing posts with label tazkirah. Show all posts
Showing posts with label tazkirah. Show all posts

Tuesday, 12 August 2014

#1: Buatlah apa sahaja asalkan ianya untuk mendapatkan keredhaan Allah

Kadang-kadang kita terlupa, dalam kesibukan kita mengejar nikmat dunia dan keinginan untuk memenuhi segala impian yang diimpikan, kita terlupa untuk mengingatkan diri kita supaya sentiasa mengutamakan keredhaan Allah dalam segala tindakan yang kita akan ambil dalam kehidupan kita.

Di sini ingin saya nasihati diri saya sendiri supaya buatlah apa sahaja yang kita mahukan, asalkan ianya mampu mendekatkan diri kita kepada tujuan yang paling utama kita diciptakan iaitu "Hidup untuk mendapatkan keredhaan Allah".

Sentiasalah kita mengingatkan diri kita supaya jangan sekali-kali tergelincir daripada niat yang suci ini dalam apa jua yang kita akan lakukan.

Kadangkala dalam ibadat khusus yang kita lakukan pun, kita terlupa bahawa ibadat yang dilakukan itu sebenarnya salah satu usaha kita untuk mendapatkan redha Allah.

Mana mungkin kita boleh luntur semangat untuk beribadat kepada Allah, amalan ramadhan sudah makin dilupakan, andai diri sering kali mengingatkan supaya setiap ibadah yang dilakukan adalah semata untuk mendapat redha-MU ya Allah!

Masyaallah, agak cemburu melihat seorang housemate saya yang masih gagah dan bermotivasi meneruskan amalan ramadhannya terutama bacaan Quran menerusi hafazannya dan solat malamnya.

Ternyata, bukankah keredhaan Allah itu motivasi yang paling agung untuk kita meneruskan kehidupan kita?

Nasihat ini datangnya tatkala timbul keinginan yang pelbagai dalam diri saya ini pada waktu ini. Semua keinginan dan matlamat itu tentu sahaja datang kerana pada waktu ini diri ini sedang merancang perjalanan hidup dunia yang masih panjang walaupun sementara.

Kahwin dan kehidupan berkeluarga. Duit dan aset kekayaan. Karier dan kejayaan. Ilmu dan amalan. Semuanya itu adalah warna warni kehidupan yang mesti kita rancang dan letakkan matlamat yang jelas supaya dapat kita capainya nanti.

Namun apa gunanya semua itu kalau tujuan dan motif utamanya bukan untuk mendapat keredhaan Allah.

Thursday, 26 June 2014

Mencari ketenangan dalam solat

Kita selalu mengadu walau berapa banyak solat yang dilakukan sekalipun tetap juga hidup kita tidak tenang. Bukan setakat hidup tak tenang, masa solat itu pun kita tak dapat bagi perhatian. Tidak khusyuk.

Khusyuk bukanlah suatu perkara yang senang untuk dilakukan. Bahkan para asatizah dan ulama' sekalipun pasti akan mengakui bahawa mereka sendiri sukar untuk mendapatkan khusyuk dalam solat.

Sedangkan kita semua tahu kepentingan untuk khusyuk dalam solat. Bukankah dalam Surah Al-Ma'un dalam juzu 30 itu Allah memberi ancaman kepada orang yang solat. Allah berfirman "Celakalah orang yang solat! Iaitu orang yang dalam solat mereka lalai!"

Selain itu,para pentazkirah juga selalu diduga dengan soalan seperti "Ustaz, kami tak pernah tinggalkan solat tapi kenapakah kami masih melakukan maksiat sedangkan di dalam Al-Quran Allah nyatakan sesungguhnya solat itu boleh mencegah seseorang itu daripada melakukan perkara keji dan mungkar. Kenapa?!"

Lalu dijawapnya yang ditanya "Kerana dalam solat itu kita tidak khusyuk"
Maka tahulah kita pentingnya untuk khusyuk dalam solat.

Solusi
Rupanya, kalau kita selidik dan muhasabah solat kita, kita akan dapati bahawa kita sebenarnya bersolat dalam keadaan yang sangat bising walaupun tiada seorang pun di sekeliling. Bahkan tiada juga suara-suara mahupun bunyi-bunyian dari sesuatu yang external.

Mana datangnya kebisingan itu?

Jawapnya dari internal. Iaitu dari diri kita yang asyik sangat bercakap dengan inner self kita. Cakap-cakap itulah apa yang terlintas dari hati dan minda. Sebab itu ada orang badannya di masjid tapi fikirannya di tempat lain. 

Dirinya hanyut dibawa oleh inner self sendiri. Sibuk berbual sendirian sehinggakan keadaan semasa solat sangat bising dengan cakap-cakap itu. Sama seperti kebisingan dari luar boleh mengganggu tumpuan solat, begitu jugalah kebisingan dari dalam itu mengganggu solat kita lantas hilangnya ketenangan dalam solat.

Maka perlu kita tahu untuk berasa tenang dalam solat, kita hendaklah berhenti bercakap dengan diri sendiri. Hentikanlah apa jua fikiran. Sebaliknya, kita perlu mula berbicara dengan tuhan melalui bait zikir yang dilafazkan sepanjang solat.

Wallahu aklam.

Saturday, 24 May 2014

Coklat Cadbury ada DNA babi?

Bismillah..

Selesai solat subuh pagi tadi saya sempat menonton TV1 yang berkebetulan menyiarkan program Anda Musykil? yang kali ini membawakan Ustaz Amri dari Jakim yang menyentuh isu coklat Cadbury yang disahkan Kementerian kesihatan sebagai mempunyai DNA babi. 

Memandangkan isu ini memang hangat dibicarakan di laman maya mutakhir ini, saya berasa cukup tertarik untuk mendapatkan penjelasan daripada Ustaz Amri dari Jakim yang lebih saya yakini sebagai seorang yang berautoriti untuk memberikan penjelasan berkenaan isu ini.

Memang sebelum ini pun saya selalu juga mengikuti ceramah Ustaz Amri ini yang selalu bersiaran dalam Tanyalah Ustaz TV9 berkenaan topik halal dan haram. 

Beberapa isi penting yang disentuh Ustaz Amri pagi tadi ialah seperti berikut:
1) Selepas disahkan oleh Kementerian Kesihatan bahawa coklat Cadbury ini mempunyai DNA babi, JAKIM telah mengambil tindakan untuk mengGANTUNG sijil halal yang diperolehi oleh Cadburi. Tindakan menggantung sijil halal ini bukan bermaksud sijil halal tersebut sudah ditarik balik, tetapi dengan tujuan untuk Jakim membuat siasatan lanjut, samalah seperti tindakan yang dikenakan ke atas seorang pesalah yang ditangkap akan direman terlebih dahulu sebelum dibicarakan di mahkamah dan dikenakan sebarang hukuman.

2) Sebelum mengesahkan bahawa coklat Cadbury ini haram, perlu diketahui terlebih dahulu adakah DNA babi itu sama seperti zat babi itu sendiri yang diharamkan oleh Islam? Hal ini kerana terdapat khilaf dikalangan ulama bahawa DNA babi ini ini haram sama seperti haramnya zat babi itu.

3) Harus juga diketahui bahawa DNA babi adalah antara yang paling cepat tersebar, ia boleh sahaja tersebar menerusi pencemaran udara dan sebagainya.

4) Oleh yang demikian, harus diperiksa adakah DNA babi yang terkandung dalam coklat Cadbury itu adalah kesan dari pencemaran atau adakah coklat itu dibuat dari bahan yang berasal dari babi?

5) Sekiranya usul periksa dilakukan menunjukkan bahawa segala bahan yang digunakan untuk membuat coklat ini termasuklah peralatan-peralatan yang digunakan juga adalah bersih suci dari sebarang unsur dari babi, dan DNA babi yang dikesan itu adalah hasil dari pencemaran, maka hukum memakan coklat tersebut adalah harus diatas prinsip 'umum balwa'.

Teringat pula saya akan ceramah Ustaz Nidzam Abdul Kadir beberapa bulan yang lalu akan sikap segelintir muslim. Terdapat segelintir muslim yang tersilap dalam menangani persepsi terhadap haramnya babi. Mereka lebih sensitif dengan isu haram memakan babi lebih daripada sensitifnya mereka terhadap haram memakan riba ataupun meminum arak.

Harus kita ketahui bahawa dosa haram RIBA jauh lebih besar dari dosa haram makan babi. Haram RIBA itu adalah dosa besar dan jelas diancam dengan azab yang berat dalam Al-Quran, adapun haramnya babi itu bukanlah dosa besar dan tidak pula diancam dengan azab sedemikian rupa. Bahkan harus pula makan babi dalam kuantiti yang sepatutnya jika berada dalam yang sangat mudharat.

Agaknya melayu takut akan haram babi itu disebabkan jijiknya fizikal babi, sedangkan riba itu jauh lebih jijik dari sudut dosa dan maksiat.


Tuesday, 21 January 2014

Islam agama Rahmat. Rahmat Allah mendahului murkaNYA.

Kalau ditanya kepada anda wahai orang Islam, apa yang membuatkan anda masih kekal berpegang dengan Islam? Apakah yang paling buatkan anda sangat tertarik dengan Islam? Apakah jawapan anda?

Bagi saya, Alhamdulillah, saya ada jawapan personal kepada soalan ini. Insyaallah, dengan jawapan ini, walau apa pun yang terjadi, saya tetap akan berpegang dengan Islam, Insyaallah, dengan izin Allah, melainkan Allah tetapkan yang sebaliknya kepada saya.

Jawapan saya ialah saya sangat suka dengan Islam atas dasar Islam sebagai agama Rahmat kepada sekalian 'alam. Di dalam sebuah hadis disebutkan bahawa Allah sebelum menciptakan makhluk, Allah telah mewajibkan keatas dirinya dengan sifat Rahmah iaitu kasih sayang ataupun rasa kasihan kepada makhlukNYA.

Atas sifat Rahmah inilah, pintu taubat kepada hambanya (saya) yang selalu buat dosa ini sangat terbuka luas. Walau sebesar mana pun dosa, sekiranya hambanya bertaubat, Allah pasti ampunkan.

Sikap Islam yang sentiasa memberi harapan kepada orang yang buat salah silap inilah yang membuatkan hati saya rasa cukup aman, tenang, tenteram, damai dengan Islam. Kerana saya sedar betapa banyaknya dosa yang telah dilakukan, akhirnya dengan kesedaran ini telah membuatkan saya tidak mudah putus asa dari rahmat Allah.

Sikap sesetengah orang Islam yang membawa pendekatan menghukum lagilah tidak bertepatan dengan ajaran Islam. Islam itu agama yang memberi harapan kepada manusia. Jangan sekali putus asa. Berikan peluang kepada si pendosa untuk kembali ke pangkal jalan. Sungguh hati ini sayang dengan Islam.




Monday, 25 November 2013

Siri Pengajian Sirah oleh Ustaz Rashidy Jamil

Bismillah

Alhamdulillah, hari ini saya selesai mengumpulkan video-video siri pengajian sirah oleh Ustaz Rashidy Jamil yang berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Video ini adalah hasil rakaman sepenuhnya oleh akaun Youtube Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (MSSAAS), apa yang saya buat hanyalah mengumpulkan siri rakaman tersebut ke dalam satu playlist. Saya namakan playlist tersebut sebagai Pengajian Sirah dengan Ustaz Rashidy Jamil dan anda boleh klik disini untuk mainkan playlist tersebut. Insyaallah, sekiranya ada lagi siri pengajian sirah oleh Ustaz Rashidy di masjid tersebut, saya akan update dalam playlist tersebut.

Tujuan saya mengumpulkan video-video tersebut adalah kerana saya dapati bilangan views oleh penonton yang amat rendah, ditambah pula dengan bilangan video yang dimuat naik oleh akaun Youtube MSSAAS tersebut sangatlah banyak dengan siri kuliah dari ramai asatizah. Jadi, dengan adanya playlist tersebut, mudah-mudahan dapatlah pencinta ilmu lebih-lebih lagi kepada yang selalu mengikuti pengajian Ustaz Rashidy dapat mencari video-video tersebut dengan mudah.

Mudah-mudahan, dengan sedikit usaha ini membuahkan  pencen kubur yang besar kepada saya kelak. Amin.

Friday, 22 November 2013

Tanyalah Ustaz: Bahana Riba oleh Ustaz Zaharuddin Ab Rahman

Bismillah

Disini ingin saya kongsikan video program Tanyalah Ustaz episod Bahana Riba yang menampilkan Ustaz Zaharuddin Abd Rahman. Episod ini bersiaran ke udara kira-kira dalam bulan lepas. Saya hanya sempat menonton episod satu sahaja secara live, setelah dibuat carian google akhirnya ketemu jua kesemua episod tersebut. Buat yang tercari-cari video ini, dipersilakan menonton dan ambillah mutiara ilmu yang berharga daripada UZAR.

p/s: Dah cari video ni dalam tonton, tapi tak jumpe... Selamat Menonton...  =)



 


 


 

Wednesday, 18 September 2013

Peringatan Ibadah Korban

Bismillah.

Musim korban akan menjengah tiba tidak lama lagi. Saya sendiri belum pernah ada pengalaman berkorban yakni menggunakan duit sendiri untuk mengorbankan lembu atau kambing, walaupun pernah sahaja turut sama dalam aktiviti korban dan makan daging korban itu.

Pun demikian, ada sedikit peringatan yang ingin disampaikan kepada yang ingin melakukan ibadah korban, mudah-mudahan jadi peringatan kepada diri ini juga apabila sampai tiba masanya nanti.

Pertama, bagi yang sudah niat untuk berkorban, perlu ingat bahawa bila masuknya bulan Zulhijjah, anda sudah tidak digaalakkan untuk memotong kuku, memotong rambut dan mencabut apa-apa bulu yang terdapat pada badan sehinggalah  selesai korban. Oleh yang demikian, orang yang berkorban seeloknya membuat reminder atau peringatan dalam smartphone masing-masing iaitu untuk menyelesaikan segala urusan potong rambut, potong kuku, andam misai dan sebagainya tepat  pada 29 ZulKaedah.

Ulama berselisih pandangan tentang hukum melakukan yang sedemikian bagi orang yang berkorban di dalam bulan Zulhijjah yakni sebelum diselesaikan korban. Imam Syafie berpandangan bahawa melakukan yang sedemikian itu hukumnya makruh yang sangat-sangat dibenci Allah sehingga mendekati kepada hukum haram.

Kedua, berkenaan korban di luar negara. Dinasihatkan supaya jangan sampai tiada korban di kampung masing-masing kerana berkorban di negara Islam yang miskin. Adapun melakukan yang sedemikian juga telah mematikan satu sunnah iaitu untuk orang berkorban sendiri dapat menyembelih  daging korban itu atau pun sekurangnya berada sama di tempat sembelihan dijalankan di samping tidak dapat membaca doakan yang dikhususkan semasa menjalankan ibadah korban.

Ketiga, berkenaan hukum orang kafir memakan daging korban. Menurut Imam Nawawi, tidak ada masalah bagi orang kafir untuk memakan daging korban. Adapun sebaiknya ianya diberikan jika mereka yang datang bertandang ke rumah kita, bukannya kita yang sukarela membahagikan daging korban kepada mereka sama seperti kita menghadiahkan daging korban kepada jiran tetangga, sahabat-sahabat dan sedekah kepada fakir miskin.

Yang terakhir mengenai puasa di hari Arafah. Nabi bersabda puasa satu hari di Hari Arafah, Allah akan mengampunkan dosa hambanya setahun yang lalu dan setahun yang akan datang. Adapun hadis ini adalah sohih, maka amat rugi bagi siapa yang tidak berpuasa pada hari tersebut.


Thursday, 1 August 2013

Bilakah waktu dhuha, apa itu solat sunat Isyrak dan apa fadilatnya?



Secara ringkasnya, solat sunat Isyrak boleh dirujuk kepada solat sunat di permulaan waktu dhuha. Fadhilat bagi sesiapa yang melakukan solat sunat Isyrak cukup besar, iaitu pahalanya menyamai melakukan umrah secara sempurna, sempurna dan sempurna. Namun, itu hanyalah bagi sesiapa yang melakukan di masjid sahaja, iaitu orang yang solat subuh berjemaah di masjid, kemudian duduk berzikir di dalam masjid sehinggalah masuk waktu dhuha, kemudian dituruti lagi dengan solat sunat sebanyak 2 rakaat. Maka, solat sunat inilah yang disebut sebagai solat sunat Isyrak dan mendapat ganjaran pahala sama seperti yang disebutkan di atas.

Sunday, 14 July 2013

Petua mendapatkan anak

Bismillah

Menjadi suatu keresahan bagi pasangan yang telah lama berkahwin namun masih belum mempunyai anak walaupun telahpun berusaha dengan pelbagai cara. Bagi yang belum berkahwin pula tentu saja perkara ini merupakan suatu yang amat mereka takuti bahkan dibuang jauh-jauh perkara ini dari ruang kotak pemikiran mereka.

Setelah pelbagai usaha dilakukan, kita mestilah berbalik semula usaha kita kepada Allah. Walaupun kita disahkan doktor sebagai kurang subur, kuasa dan rezeki anak ini milik Allah. Di dalam Al-Quran ada dikisahkan bagaimana dialog Nabi Zakaria bila mana disampaikan berita baik dari Malaikat bahawa beliau akan mendapatkan anak (iaitu Nabi Yahya). Baginda berkata "Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, padahal sebenarnya aku telah tua dan isteriku pula mandul?". Lalu, Allah menjawab Allah akan melakukan apa-apa yang dikehendakiNYA. (Surah Al-Imran Ayat 40)

Antara petua untuk mendapatkan anak ialah:
i) Menggauli isteri pada malam Ramadhan iaitu sebuah bulan yang diberkati. Dalam Surah Al-Baqarah ayat 187, Allah berfirman:

"Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu. Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu mengkhianati diri sendiri, lalu Dia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu. Maka sekarang setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib) dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid. Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya. Demikian Allah menerangkan ayat-ayat hukumNya kepada sekalian manusia supaya mereka bertakwa."

Melalui ayat ini, ada sesetengah ulama menyatakan bahawa ayat ini seolah-olah satu hint daripada Allah kepada hambanya supaya untuk menggauli isteri mereka pada malam ramadhan sekiranya mereka ingin mendapatkan anak.

ii)Banyakkan istighfar. Dalam Surah Nuh ayat 10-12, Allah berfirman maksudnya:

"Sehingga aku berkata (kepada mereka): Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Dia Maha Pengampun. (10) (Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu; (11) Dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya). (12)"

Dalam ayat 10 Allah berfirman kepada hambanya supaya banyakkan istighfar kerana sungguh Allah maha pengampun dosa-dosa hambaNYA. Kemudian dalam ayat 11 dinyatakan sekiranya kita berbuat demikian iaitu perbanyakkan istighfar maka Allah akan menganugerahkan kepada kita hujan yang lebat, harta kekayaan, ANAK-PINAK, dan tanam-tanaman yang didalamnya sungai-sungai yang mengalir.

Wallahuaklam.

Monday, 3 June 2013

Aplikasi Mathurat untuk Android

Bismillah.

Setelah mula membiasakan diri membaca al-Quran melalui apps dalam smartphone, tiba-tiba hati terfikir ada tak aplikasi untuk Al-Mathurat. Anda tahu ke Al-Mathurat itu apa? Rasanya kalau anda masa sekolah dahulu tinggal di asrama tentu sahaja anda biasa membaca al-Mathurat, bukan? Al-Mathurat ini ialah himpunan doa-doa yang ma'thur iaitu sahih daripada Rasulullah S.A.W yang dikumpulkan oleh As-Syahid Imam Hassan al-banna. Doa-doa yang dikumpulkan ini sangat elok untuk dijadikan zikir pada waktu pagi dan petang.

Setelah membuat carian dalam Google Play, terdapat beberapa apps telah dihasilkan oleh developer-developer walaupun tidaklah begitu banyak. Namun agak menyedihkan kerana hanya apps yang ketiga yang diinstall dalam smartphone saya yang berfungsi dengan baik. Lagi dua tu tak berfungsi. That apps which work for my smartphone is Al-Mathurrat Bersama Ustaz Don. Alhamdulillah, at last I found one that compatible with my smartphone.

Apa yang menarik dalam aplikasi ini ialah user interface yang menarik dan simple, bagi tiap-tiap ayat dan doa juga disediakan maknanya sekali. Tak kurang juga ada disediakan 'play button' yang disediakan di sudut atas sebelah kanan yang membolehkan anda mendengar sekali bacaan-bacaan ayat dan doa tersebut. Tak pasti pula kalau-kalau bacaan tersebut dibacakan oleh Ustaz Don. Namun, ianya pasti dapat membantu sesiapa yang kurang lancar bacaannya untuk mengikuti bacaan yang dimainkan itu serentak. Tak kurang juga bagi yang selalu membaca alMathurat secara berjemaah, membaca wirid ini serentak dengan mp3 yang disediakan itu setidaknya membawa mood untuk anda disamping menjaga bacaan anda juga. Tidaklah nanti tersalah baca.

Sekian.

p/s: Mudah-mudahan dapat istiqamah membaca alMathurat tiap-tiap hari. Amin

Saturday, 24 November 2012

Orang jahil takut tuhan, orang alim ikut nafsu

Walaupun tajuk kali ini boleh mengundang salah faham, diharap mesej yang ingin disampaikan dapat difahami pembaca. Quote ini saya dengar dari kata-kata Ustaz Rashidy Jamil, sama juga entri sebelum ini yang bertajuk Bicara Tasawuf: Zuhud, ia juga dari Ustaz Rasyidy Jamil. Sedar tak sedar itu juga adalah kali kedua saya buat post tentang zuhud, yang pertama adalah berkenaan kaitan sifat zuhud dengan ekonomi.

Kali ini pula post tentang orang jahil dengan orang alim. Dikatakan dalam tasawuf bahawa berkawan dengan orang jahil yang takut tuhan itu lebih baik daripada berkawan dengan orang alim yang ikut nafsu. Ini kerana jahil apakah lagi seseorang itu jika dia takut dengan tuhan? Dan alim apanya lagi yang ada pada seseorang yang ikut nafsu?


Contoh yang diberikan ustaz cukup menarik. Menurut ustaz, orang dulu-dulu suka untuk menghadiri pesta hiburan yang diadakan jarang-jarang di kampung-kampung, boleh jadi seminggu atau dua minggu sekali. Hiburannya pula berbentuk semacam dikir barat, wayang kulit dan lain-lain budaya Melayu yang lama (rasa rugi pula banyak budaya melayu yang tak sempat merasa!). 


Hiburan dulu jauh berbeza dengan sekarang, kan? Sekarang, hiburan boleh dikatakan ada setiap masa, manusia berhibur sepanjang masa melalui tv, radio, internet dan macam-macam medium lagi. (Astaghfirullah atas dosa-dosa kecil kita!)


Kemudian, diceritakan bagaimana wanita dulu yang apabila nak pergi ke pesta hiburan tersebut, mereka ingin untuk membuat rambut mereka jadi kerinting? Namun, ada sesetengah mereka yang kemudian terfikir kembali dan berasa perkara ini salah. Contoh dengan berkata, "Ehm, tak jadilah nak kerinting rambut takut kena laknat dengan Allah sebab mengubah ciptaan Allah," katanya.


Walaupun sebenarnya membuat rambut kerinting itu tidak sama sekali dikira sebagai mengubah ciptaan Allah dan tidaklah haram, namun oleh kerana takut tuhan perkara yang tak diketahui salahnya pun mereka telah tinggalkan. Inilah baiknya bila wujud rasa takut tuhan dalam jiwa manusia. 


Cerita orang alim pula begini. Orang alim ni dia banyak hujah dan dalil sebabnya telah mendengar pelbagai pandangan ulama'. Sebagai contoh dalam bab rokok. Ada ulama' mengharamkan dan ada juga yang mengatakan hukumnya sekadar makruh. Maka, orang alim ni tentulah akan mengatakan ini adalah perkara khilaf, lantas mengikut nafsunya untuk memakai pendapat yang merokok itu makruh.


Lagi teruk bila ada orang alim ni betul-betul suka ikut nafsu. Walaupun telah banyak mendengar dan menadah ilmu, namun ilmu itu seolah-olah tidak meresapi ke dalam jiwanya. Maka tertanyalah kita apa ilmu lagi yang perlu diajar supaya dia dapat didik nafsunya itu? Astaghfirullah sekali lagi jika kita tergolong dalam golongan ini. Kemudian, jangan putus asa dari rahmat Allah, terus bertaubat dan kita masih kena terus-menerus mujahadah lawan nafsu kita. Itu yang perlu dilakukan.


Diharapkan entri ini tidak menjadikan orang alim itu putus asa dan menjadi sebab untuk seseorang itu terus menerus berada dalam kejahilan. Ianya sekadar untuk mengetuk kepala orang alim yang ikut nafsu supaya berhenti dari terus melakukan yang sedemikian dan perlunya mewujudkan rasa takut kepada Allah dalam diri masing-masing.

Wallahuaklam.


Bicara Tasawuf: Zuhud

Apakah maksud zuhud?

Zuhud bermaksud tidak cenderung kepada dunia. Tidak cenderung bukan bermaksud tinggalkan dunia, tapi orang yang zuhud mengambil dunia tapi hatinya tidak cinta kepada dunia.

Bagaimanakah contoh orang tidak zuhud? Contohnya seorang yang mengikut trend, tak kisahlah trend apa. Paling simple henset. Kalau kita tengok kemajuan teknologi henset begitu pantas. Seingat-ingat, henset mula berubah dari barang kemewahan kepada keperluan bagi setiap orang pada tahun 2006. Masa tu baru di tingkat empat. 

Entah semena-mena tiba-tiba ramai orang sekeliling memiliki henset terutamanya dari kalangan kawan-kawan sendiri yang masih lagi belajar. Dari monophonic, kemudian beralih kepada polyphonic, kemudian dengan macam-macam lagi teknologi yang tidak saya tahu sebab memang seorang yang outdated. 

Kalau hari ini pula, dengan androidnya, ipad, iphone, ipod dan macam-macam lagi. Setiap satunya beralih dari satu model ke model yang lain dengan cepat. Kalau lah ada orang yang jenis asyik tukar je henset sebab nak yang latest model, orang tersebut tidaklah dinamakan zuhud. 

Adakah semudah itu kita hukum seseorang itu tidak zuhud? Tidak juga. Ia juga bergantung kepada kegunaan kita terhadap teknologi itu. Jika kita menggunakan sesuatu teknologi yang latest sebab kita memang perlu sangat menggunakan teknologi itu, maka itu tidak dikira tidak zuhud. Paling mudah kita tengok ustaz-ustaz sekarang, ada yang pakai Ipad semasa bagi kuliah agama. 

Tapi, kalaulah seseorang itu beli Ipad, tapi gunakannya untuk aplikasi yang asas sahaja, maksudnya seseorang itu tidak zuhud. Lagi contoh, seseorang beli kereta Ferrari yang terbaru (model apa saya tak tahu), tapi hanya naik Ferrari itu untuk sekadar teman bini ke pasar, hantar anak ke sekolah dan lain-lain kerja yang remeh, ini dikira sebagai tidak zuhud. Lainlah kalau dia memang beli Ferrari dan gunakannya contoh untuk meeting kerja di Kota Bharu paginya, kemudian ada appointment di Kuala Terengganu tengaharinya, kemudian ke Kuantan jumpa kerabat kat sana petang itu dan malamnya pula sempat tidur di samping isteri di rumah, ini baru maksud betul-betul gunakan kereta itu. Bahkan sudah jadi rutin harian terpaksa ke tempat yang jauh-jauh atas komitmen kerja. Maka ini tidak dikira sebagai membazir dan tidak juga dikira tidak zuhud. 

Begitu sebenarnya konsep zuhud.

Disebutkan kisah pernah Imam Syafie melihat gurunya Imam Malik memakai jubah berharga 1000 dinar. Ye, 1000 dinar. Bukan 1000 ringgit.

Tergamam Imam Syafie. Apatah lagi gurunya yang pernah mengajarnya supaya zuhud dan sebagainya akhirnya memakai jubah yang berharga 1000 dinar. Biar betul?

Apa jawapan Imam Malik? Beliau berkata, jubah yang berharga ribuan itu beliau pakai atas dua(2) sebab. Pertama, beliau pakai hanyalah sewaktu majlis pengajian hadis nabi yang beliau ajarkan supaya untuk memuliakan nabi. Kedua, pakaian itu tidak lain hanyalah hadiah dari salah seorang muridnya, sedangkan menghargai hadiah seseorang untuk menggembirakan hati seseorang adalah dianjurkan dalam agama. Maka jelas Imam Malik tidaklah dikira sebagai tidak zuhud dengan memakai jubah yang mahal itu.

Bagi kita orang awam sekarang ini, ada pengajaran untuk kita dari kisah di atas. Apa kata kita buat macam ni. Beli satu pakaian yang mahal, lepas itu pakaian itu kita pakai waktu nak solat sahaja. Sampai orang lain nampak kita pakai baju mahal itu saja, orang tahu dah yang kita baru nak pergi solat jemaah di masjid ataupun baru sahaja pulang dari solat di masjid. Kan lain tu.

Sama juga kalau kita ada Ferrari sebuah kat rumah sebagai contoh, gunakanlah ia untuk ke masjid. Kena pula on the way ke Masjid itu, hari hujan. Jumpa pula seorang yang berkejaran mencari tempat berlindung dari hujan. Tanpa berfikir panjang, terus kita tawarkan kepada orang tersebut untuk tumpang kereta Ferrari mewah tu untuk ke masjid  sama-sama menunaikan  solat jemaah. Kan lain tu? Ni tidak, ada setengah orang tu kalau nak pergi solat kat masjid pakai kereta buruk-buruk sahaja, nak pergi ke pasar pula baru pakai Ferrari. Nampak tak permainan dia kat situ? Tujuan apa sebenarnya dia pakai kereta itu?

Kesimpulannya, walaupun kita menggunakan sesuatu yang pada pandangan umum seolah-olah tidak zuhud seperti menggunakan barang mewah, kita tetap tidak dikira sebagai tidak zuhud dengan dua sebab: 
1)kita betul-betul gunakan barang tersebut dan kita memang perlu gunakanyya, bukan sekadar nak menunjuk-nunjuk. 
2) Gunakan ia untuk menunjukkan gahnya Islam, hebatnya Islam, menaikkan syiar Islam, bukannya menunjukkan kehebatan individu.

Sekian sahaja, wallahuaklam.

Tuesday, 13 November 2012

[Video] Kemah keming Ustaz Azhar Idrus Ep 1

Akhirnya, dapat juga ustaz a.k.a pendakwah kesukaan ramai iaitu Ustaz Azhar Idrus masuk ke kaca TV menerusi program Kemah Keming Ustaz Azhar Idrus.

Alhamdulillah.

Walaupun Ustaz Azhar tidak begitu digemari oleh sesetengah pihak kerana kebanyakan ceramahnya ada banyak kritikan kepada kerajaan dan imejnya yang lebih kepada pro-PAS, namun pihak terbabit pun akhirnya terpaksa jua menerima hakikat bahawa membawa masuk Ustaz Azhar ke dalam siaran tv mampu menarik rating yang tinggi terhadap saluran berkenaan.

Kalau tidak, masakan mereka sanggup menahan telinga dikritik dan ditegur. Walhal, kritikan dan teguran itu tidak lain hanyalah untuk kebaikan mereka jua. Rendahkan ego, dengar kata nasihat dari orang lain. Itu yang sebaiknya. Moga-moga dengan muncul ustaz Azhar di kaca tv mampu memberikan manfaat yang tinggi kepada masyarakat.

Selamat menonton.




Wednesday, 8 August 2012

3 cara menarik untuk bersedekah

Tiga cara untuk bersedekah ialah:

1) Sedekah semuanya. 
- Bila nak bersedekah, usai keluarkan dompet, ambil semua duit anda dan sedekah. (Ni memang ramai la yang tak mampu, orang yang punya iman yang mantap seperti Saidina Abu Bakar insyaallah boleh buat)

2) Sedekah cepat
- Bila nak bersedekah, usai keluarkan dompet, ambil sahaja duit anda dengan cepat tanpa terlebih dahulu mengira berapa nilai wang yang anda ingin sedekahkan. Bagi je cepat-cepat dan lepas tu cepat-cepat juga lupakan yang anda telah bersedekah.
-Tadi terdengar dari UZAR, antara amalan yang dilakukan Nabi Muhammad S.A.W pada 10 hari/malam terakhir ramadhan ialah dengan banyaknya bersedekah, pemurahnya nabi adalah lagi laju daripada angin. Maksudnya, nabi telah buat seperti apa yang sy terangkan td iaitu "Sedekah cepat", bahkan lagi laju daripada angin.

3) Sedekah terus.
- Bila datang je peminta sedekah, tidak kira la siapa yang datang, kita tetap akan bersedekah tanpa mengira siapa yang meminta dan juga tanpa mengira kita ada duit ke tidak. Tidak kisahlah nak bagi sikit ke, banyak ke, tiap-tiap kali ada peminta sedekah datang kat kita kita pasti bagi la. 
-Tapi kali ni, bila nak sedekah tu, anda dibenarkan untuk tengok dulu nilai duit anda. Kalau anda ada banyak tapi memilih untuk bagi sedikit, just do it. Tapi ingat, kalau ada duit sedikit pula, anda mesti kena sedekahkan juga sebahagian dari duit itu.

p/s: Rasanya kalau boleh terapkan cara ketiga dalam diri kita dan anak-anak kecil pun cukup baik. Ajar diri selalu bersedekah. Orang datang je terus bagi.


Wednesday, 25 July 2012

Mencari Lailatul Qadar umpama pertandingan bola sepak!!!

Dalam rancangan Tanyalah Ustaz Ramadhan bersama Dato' Hasan Din Al-hafiz yang bertajuk "Islam itu Indah" pagi semalam, Dato' ditanyakan dari salah seorang jemaah muslimah perihal bagaimanakah hendak mencari lailatul qadar.

Seperti lazimnya yang kita biasa dengar, Dato memberi jawapan dengan hadis Rasulullah yang menyuruh kita mencari malam Qadar ini pada sepuluh malam terakhir dalam Ramadhan. Dan dengan sebab kasihnya Rasulullah S.A.W kepada kita, baginda memudahkan lagi umatnya supaya carilah ia di malam-malam yang ganjil di dalam sepuluh malam terakhir itu.

Persoalannya, bolehkah kita sekadar fokus kepada malam-malam ke-21, 23, dan seterusnya sahaja untuk mendapatkan kelebihan malam qadar ini tanpa beribadat pada malam-malam lain seperti malam-malam awal ramadhan?

Maka jawab Dato, mencari lailatul qadar itu umpama pertandingan bola. Dalam pertandingan bola, kita ada beberapa peringkat seperti pusingan awal, suku akhir dan separuh akhir sebelum melangkah ke perlawanan akhir.

Maka sama jugalah dengan ramadhan. Dibahagikan Ramadhan itu kepada tiga, pusingan awalnya adalah pada 10 malam pertama, pusingan separuh akhirnya pada 10 malam pertengahan Ramadhan dan pusingan akhirnya adalah 10 malam terakhir Ramadhan.

Bagi yang ingin mendapatkan malam Qadar(malam kemenangan) yang berada pada malam 10 terakhir ramadhan yaitu di pusingan akhir, seseorang itu hendaklah melalui peringkal awal dan peringkat separuh akhirnya, setelah berjaya di dua pusingan tersebut barulah berjaya ke pusingan akhir. Mana mungkin seseorang itu dapat terus ke pusingan akhir tanpa melalui peringkat awalnya dan peringkat separuh akhirnya. Dengan itu, kalau hendak masuk ke pusingan akhir pun gagal, apa lagi hendak mendapatkan kemenangan itu (malam Qadar).

Dengan erti kata lain, sekiranya ingin mendapatkan fadhilat lailatul qadar, hendaklah kita mengerjakan setiap malam-malam ramadhan dengan ibadah. Tidak boleh pada malam-malam tertentu sahaja.

Perkara ini sebenarnya menjawab kritikan aku kepada kebanyakan umat Melayu yang hanya fokus beribadah pada awal ramadhan namun terus berhenti melakukan ibadah pada penghujungnya. Ini kerana pernah terdetik di fikiranku untuk menyeru mereka supaya jangan bersemangat melakukan ibadah pada awal ramadhan, tetapi bersemangatlah pada akhir ramadhan kerana disitulah adanya malam Qadar. Kalau diikutkan logik maka benarlah kira-kiraku ini, namun perkara agama bukan hanya terletak pada logik akal semata-mata, yang lebih penting adalah ikhlas dalam beribadah.

Dan yang menariknya, analogi yang diberikan tadi juga mempunyai satu maksud yang cukup menarik bila dipandang dari sudut sisi yang lain. Sekiranya mencari malam Qadar itu umpama pertandingan bola, maka dari 16 pasukan yang bersaing di peringkat awal, tentu saja hanya dua pasukan yang berjaya ke peringkat akhir. Maka betullah analogi Dato' dalam memberi gambaran sikap orang Melayu yang ramainya memenuhi masjid-masjid hanyalah di peringkat awal, namun bila sudah berada di penghujung saingan, hanya tinggal segelintir sahaja yang masih lagi tekun beribadah di masjid-masjid.

Sesungguhnya fenomena ini hanya di tempat kita, nyata jauh berbeza daripada apa yang diamal oleh orang arab.

Wallahuaklam.

Video Tanyalah Ustaz Semalam.

Selamat menonton.

part 1

part 2

p/s: cepat betul depa ni wat kerja, byk pahala depa..



Wednesday, 18 July 2012

Ketahui tarikh lahir anda dalam kalendar Hijrah


Ni adalah gajet yang disediakan oleh laman web Al-habib.com. Benda macam ni banyak je ada kat internet, tapi saya percaya yang ramai orang yang ingin tahu tarikh lahir mereka dalam tahun hijri namun agak "rajin" untuk membuat sedikit carian sendiri di google. So, diharapkan anda entri saya ini dapat memudahkan anda para pelawat blog ini. Dan dalam tidak sedar, usia kita yang sebenarnya adalah lebih tua dari yang kita sedia maklum. Ini kerana tahun hijrah sebenarnya adalah lebih pendek daripada tahun masihi. Mungkin kebanyakan daripada kita bersetuju bahawa umur purata manusia adalah 63 tahun, maka timbul persoalan, umur ini mengambil kira umur dalam tahun hijrah ke umur dalam tahun masihi? Sekian.

Thursday, 14 June 2012

Malaikat pencari orang berselawat?

Rasanya, lama sangat dah tak tulis post berkaitan dengan pengisian rohani. Asyik2, sukan...finance... Pastu, sukan lagi... Then, hiburan ppulak... Bila pula nak bertazkirah? Hmmm...

So, tazkirah ringkas dari diri yang serba kekurangan ini buat anda semua sidang pembaca... Tazkirah nya adalah berkisar tentang selawat kepada junjungan besar yang tidak pernah sekali melupakan kepada kita, yang sentiasa menyebut-nyebut tentang kita di hadapan para sahabatnya iaitu Nabi Muhammad S.A.W.

Itulah, selalu sebut itu sebenarnya tanda kasih dan rindu seseorang kepada yang diingatinya. Sama juga, kalau kita sekalipun, suka sangat dengan sesuatu benda... Kadang2, perasaan suka yang teramat sangat tu akhirnya boleh sampai terbawa-bawa ke dalam mimpi... Dalam tidurnya pun tersebut-sebut perkara yang disukai itu... Sampai mengigau jadinya... Hmmm...

So, menyedari betapa kasihnya Nabi Muhammad S.A.W kepada kita(umatnya), tidak sewajarnya kita membiarkan manusia paling agung ini bertepuk sebelah tangan... Sambutlah sayang baginda kapada kita dengan ucapan selawat kepadanya... 

Yang paling penting, harus diketahui juga bahawasanya ada sejenis malaikat yang dicipta Rabbul Jalil, yang mana tugasnya adalah mencari-cari hamba Allah mana di dunia ini yang berselawat kepada Nabi Muhammad S.A.W... Kemudian, disampaikan selawat hamba tadi dengan serta-merta kepada rasulullah S.A.W... Maka diberitahu oleh malaikat tadi kepada rasulullah bahawa si anu itu telah berselawat kepadamu.. Disebut nama hamba Allah itu kepada rasulullah.... Subhanallah... Indahnya cinta kepadamu ya rasulullah.... 

Sekian, salam mahabbah ya rasulullah....

Sunday, 6 May 2012

Maybank saya hampir diceroboh!!!

Td, dapat emel dr maybank.. Dia suruh tekan link kat situ utk ke website maybank...
Rse was2 gila, pastu trus log-in ikut google... Tgk apa yg dia highlight..

Nampak sgt ni adalah salah satu phishing attack.. Mereka cuba dptkan username dan password, dgn cara menyuruh kita klik link tersebut...

Beware guys...

First time kne...


Tuesday, 17 April 2012

Nak tinggalkan suruhan Allah ke nak buat larangan Allah?

Em, ade jugak ke yang tanya soalan camnih? Tentunya jawapannya ialah dua-dua tak boleh buat.. Betul, very true... Tp kalau nak tahu, dalam kitab "Fawaid", kitab ringkas karangan Imam Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah rahimahullah yang memuatkan kata-kata hikmah dan nasihat ada menyebut bahawa "meninggalkan suruhan Allah itu dosanya adalah lagi besar daripada melakukan larangan Allah (maksiat)".

So, apa hujah yang digunapakai Imam Ibnu Qayyim dalam menyatakan hal ini? Beliau memberikan dua contoh pelaku dosa iaitu syaitan dan nabi Adam..  Nabi Adam 'alaihissalam melakukan dosa apa? Dosa kerana melakukan larangan Allah iaitu jangan mendekati pokok khuldi di syurga. Apa yang dia buat? Nabi Adam dan Hawa bukan sahaja mendekati pokok itu, bahkan memakan buah khuldi itu. Kerana apa Nabi Adam a.s. melakukan yang sedemikian, kerana pengaruh nafsu!

Syaitan pula melakukan dosa untuk meninggalkan perintah Allah untuk sujud kepada Nabi Adam a.s.. Apakah sebab syaitan iblis tidak mahu sembah sujud kepada Nabi Adam a.s, kerana dia merasakan dia lagi mulia kerana Iblis dicipta Allah dari api manakala Adam dicipta Allah dari tanah. Maka, enggannya iblis adalah kerana sombong dan takabbur.

Apa kesudahan Adam dan syaitan? Adam dikeluarkan dari syurga, namun akhirnya beroleh keampunan dari Allah atas kelalaiannya, tetapi syaitan iblis dilaknat Allah sampai hari qiamat, memberi tanda besarnya dosa yang telah dilakukan syaitan iblis apabila ia telah takabbur di depan al-Khaliq.

Di sini, sapat difahami bahawa manusia yang melakukan maksiat adalah kerana ia telah lalai dan tewas kepada hawa nafsunya sedangkan manusia yang meninggalkan perintah Allah adalah kerana sombong dan takabbur, dan sudah tentunya sombong dan takabbur ini adalah syirik kecil dan ia adalah antara dosa yang tidak akan diampun oleh Allah.(walaupun tak semua kerana takabbur, ade jugak kerana jahil)

So, seelok-eloknya, memohon ampunlah orang melakukan maksiat dan yang meningggalkan perintah Allah (yakni solat dan puasa) dan qadhalah amalan fardhu yang telah kamu tinggalkan itu. Rahmat Allah itu sangat la luas dan Dia amatlah pengampun.

wallahuaklam..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts