MUHASABAH

Sudahkah anda berselawat hari ini? Tahu tak, seorang alim pada zaman dahulu pernah berkata, "Aku tahu bila akan Allah berselawat kepadaku". Orang ramai terkejut lalu bertanya, "Ya sheikh, mengapakah kamu jadi begitu bongkak seolah-olah kamulah tuhan?" Lalu dia menjawab, "Sesungguhnya apabila seorang hamba berselawat kepada nabi Muhammad s.a.w. sekali, maka Allah akan berselawat kepadanya 10 kali".
Showing posts with label muamalah. Show all posts
Showing posts with label muamalah. Show all posts

Saturday, 6 September 2014

Bentuk-bentuk riba

Lanjutan kepada post ringkas saya mengenai apa itu riba, riba bermaksud lebihan daripada sesuatu transaksi tanpa ada nilai ganti (counter value).

Lebihan ataupun gain dalam bahasa inggerisnya boleh dibahagikan kepada dua. Yang pertama ialah justified gain iaitu seperti keuntungan dalam transaksi jual beli manakala yang kedua ialah unjustified gain.

Unjustified gain inilah yang dikategorikan sebagai riba dan dihukumkan sebagai haram. Manakala keuntungan yang diperolehi menerusi bisnes jualan mahupun servis perkhidmatan adalah justified gain dan dihukumkan sebagai harus.

Oleh kerana kedua-dua transaksi riba dan jual beli mempunyai sifat lebihan, tidak hairanlah ramai yang tersalah anggap bahawa riba ini sama sahaja dengan jual beli. Sebagai contoh adalah dakwaan bahawa perbankan Islam adalah sama dengan perbankan konvensional kerana kedua-duanya sebenarnya pada hakikatnya adalah sama-sama memberi hutang. 

Mereka bertanyakan mengapa perbankan Islam boleh mendapat untung daripada hutang yang diberikan sedangkan bank konvensional tidak boleh. Padahal yang membezakannya ialah perbankan Islam menggunakan transaksi jual beli manakala bank konvensional menggunakan transaksi pinjaman.

Bukankah Allah sendiri berfirman dalam Al-Quran bahawa ada segelintir manusia yang menganggap jual beli itu sama sahaja seperti riba, sedang Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba.

Bentuk-bentuk riba

1. Apa jua bentuk lebihan, keuntungan dan faedah yang ditetapkan menerusi kontrak pinjaman. Contohnya:

a) Ali meminjamkan kepada Abu RM10 dengan syarat Abu hendaklah menjelaskan hutang tersebut dengan membayar sebanyak RM12. Di sini, keuntungan sebanyak RM2 yang diperolehi itu adalah riba dan ianya biasa dipanggil dengan istilah interest ataupun 'bunga' seperti yang dipraktikkan dalam perbankan konvensional. 

Kenapa unjustified: Bunga ini adalah unjustified gain kerana tiada usaha yang dilakukan dalam memberi hutang untuk mendapatkan keuntungan seperti ini, sebaliknya pemberi hutang hanya menunggu sahaja untuk mendapatkan keuntungan.

Hikmah: Orang yang kaya tidak akan mempergunakan orang miskin untuk mendapatkan keuntungan walaupun goyang kaki sahaja sedangkan orang miskin perlu bekerja untuk membayar balik pinjaman tersebut.

2. Penalti yang dikenakan kerana terlambat untuk menjelaskan hutang tidak kira sama ada hutang kerana pinjam mahupun hutang kerana beli barang secara tangguh.
Contoh:

a) Ali meminjamkan kepada Abu RM10 dan Abu dikehendaki menjelaskan balik hutang tersebut sebanyak RM10 dalam masa dua hari. Sekiranya lambat, maka Abu hendaklah membayarnya sebanyak RM12.

b) Ali menjual komputer berharga RM1,000 kepada Abu jika dibayar secara tunai. Abu tidak mempunyai tunai sebanyak RM1,000, maka memilih untuk membayar sebanyak RM250 secara bulanan selama 5 bulan, yang menyebabkan harga keseluruhan ialah RM1,250. Bayaran tangguh seperti ini adalah harus. Namun, jika ditetapkan bahawa jika Abu akan dikenakan penalti sebanyak RM50 setiap kali terlambat menjelaskan bayaran bulanan tersebut, maka penalti ini adalah termasuk dalam riba.

3. Lebihan dalam transaksi  matawang (barang ribawi) . Yang dimaksudkan dengan matawang ialah emas, perak dan duit kertas. Dalam jual beli pertukaran matawang, syarat yang mesti diikuti ia mestilah secara tunai (tidak boleh hutang atau bertangguh) termasuklah membayar menggunakan debit kad, cek, kredit kad islamik dan overdraft, dan matawang tersebut juga mestilah diserahkan pada masa yang sama atau selambatnya dalam tiga hari bekerja. Contoh riba:

a) Lebihan dalam transaksi matawang yang sama jenis kerana berbeza timbangan seperti trade in gelang emas lama seberat 10g dengan emas baru seberat 8g.
Kenapa unjustified: Hal ini kerana jika emas ini dikiaskan kepada matawang RM, tidak akan ada orang yang sanggup menukar RM10 dengan RM5 melainkan RM10 digantikan dengan RM5 sebanyak 2 keping (sama nilai). Adapun jika membuat tukaran antara dua matawang berbeza seperti membeli emas dengan membayar menggunakan perak, ataupun membeli emas dengan duit RM, maka tidak ada masalah jika tidak sama timbangan.

b) Lebihan dalam transaksi matawang kerana bayaran bertangguh. Contohnya membeli emas secara hutang. Membeli emas secara online yang mana emas akan sampai di tangan pembeli lebih daripada tiga hari selepas pembeli membayar secara online juga adalah riba.

c) Lebihan dalam transaksi makanan asasi yang sama jenis kerana berbeza timbangan seperti menukar 1kg anggur yang baru dengan 2kg anggur yang hampir rosak. Adapun jika membuat tukaran antara dua makanan asasi yang berbeza seperti membeli beras dengan membayar menggunakan jagung, maka tidak ada masalah jika tidak sama timbangan.

Baca entry terdahulu:
1. Apa itu riba?
2. Video Tanyalah Ustaz bertajuk "Bahana Riba'





Friday, 22 November 2013

Tanyalah Ustaz: Bahana Riba oleh Ustaz Zaharuddin Ab Rahman

Bismillah

Disini ingin saya kongsikan video program Tanyalah Ustaz episod Bahana Riba yang menampilkan Ustaz Zaharuddin Abd Rahman. Episod ini bersiaran ke udara kira-kira dalam bulan lepas. Saya hanya sempat menonton episod satu sahaja secara live, setelah dibuat carian google akhirnya ketemu jua kesemua episod tersebut. Buat yang tercari-cari video ini, dipersilakan menonton dan ambillah mutiara ilmu yang berharga daripada UZAR.

p/s: Dah cari video ni dalam tonton, tapi tak jumpe... Selamat Menonton...  =)



 


 


 

Monday, 15 July 2013

Apa itu riba?

Makna dari segi bahasa: lebihan, tambahan

Riba dari segi istilah syara' boleh diertikan dengan lebihan yang dipulangkan kepada suatu pihak yang lain TANPA ada nilai ganti kepada perkara tersebut.

Sebagai keterangan, kita ambil contoh dari proses jual beli. Apabila seseorang itu membeli barang, sebagai contoh pen, seseorang itu akan membayar wang kepada penjual pen dan sebagai nilai ganti (counter value) kepada wang tersebut, penjual akan menyerahkan pen tersebut kepada pembeli. Jadi, apabila dalam kontrak jual beli, akan berlaku pertukaran NILAI antara penjual dan pembeli. 

Apabila berlakunya pertukaran NILAI dalam suatu transaksi ekonomi antara dua pihak, maka tiadalah riba disitu. Hal ini kerana syariah amat menekankan konsep usaha dan ikhtiar bagi seseorang itu untuk mendapatkan sesuatu untuk dimiliki. Tidak mungkin bagi seseorang itu boleh mendapatkan sesuatu tanpa ada usaha.

Hal ini jelas menunjukkan bahawa dalam kontrak hutang (qardh), seseorang yang memberi hutang (debtor) sejumlah wang kepada penghutang (borrower) dengan niat mendapatkan bunga (interest) daripada penghutang adalah haram dan ianya riba. Hal ini kerana tiada usaha yang dilakukan oleh pemiutang untuk mendapatkan wang sebaliknya hanya menunggu bayaran daripada penghutang.

Melalui perkara ini, syariah telah berjaya untuk menjaga kepentingan orang-orang yang miskin (needy people) daripada ditindas oleh orang kaya yang berharta. Sekiranya perkara ini bukanlah riba dan tidak haram, si miskin akan berusaha bersungguh-sungguh bekerja untuk menyelesaikan hutang tersebut namun sebaliknya orang kaya hanya bergoyang kaki menunggu hasil daripada hartanya yang bekerja tanpa perlu dia sendiri bersusah payah bekerja.

Wednesday, 21 November 2012

Asas Muamalah: Konsep Harta dan Pemilikan

Dalam sistem Muamalah Islam, konsep harta dan pemilikannya amat dititikberatkan. Hal ini kerana bukan semua perkara boleh dijual-beli. Hanya harta yang berada dalam pemilikan si penjual sahaja yang boleh dijual beli. Bahkan, sesuatu perkara atau barang itu mesti menepati beberapa syarat sebelum ia dikategorikan sebagai harta.

Syarat-syaratnya ialah yang pertama benda tersebut mestilah mempunyai nilai (najis dikira sebagai tiada nilai, melainkan telah berubah sifatnya menjadi baja), kedua, ia boleh memberi manfaat kepada orang Islam (dadah dan rokok tidak memberi manfaat) dan ketiga ialah ia juga boleh dimiliki (barang yang tidak boleh dimiliki ialah seperti cahaya matahari). Sekiranya sesuatu barang itu gagal memenuhi syarat ini, maka benda tersebut tidak dikategorikan sebagai harta di dalam Islam seterusnya tidak boleh dijual beli. Maka, najis, dadah, rokok dan cahaya matahari tidak dikira sebagai harta dalam Islam (walaupun status rokok masih diperdebatkan).

Kemudian, selepas sesuatu barang sudah sah sebagai harta disisi Islam, harta tersebut mestilah sah berada dalam pemilikan si penjual sebelum ia menjual kepada pembeli. Aspek pemilikan pula penting dalam Islam kerana bentuk-bentuk pemilikan yang berbeza memberi natijah kepada kesan yang berbeza. Sebagai contoh, dua bentuk pemilikan ialah pemilikan sempurna dan pemilikan tidak sempurna. Di dalam Islam, hanya harta yang didalam pemilikan sempurna sahaja boleh dikenakan ke atasnya zakat, dan dalam Mazhab Syafi'e pula, hutang dikira sebagai harta dalam pemilikan sempurna, lantas di dalam pengiraan zakat seseorang itu, jumlah hutang yang diberikan kepada mana-mana peminjam perlu dijumlahkan sekali dengan nilai harta-harta yang lain. Maknanya hutang perlu dizakatkan.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts